Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaViral

Komputer Riba Sebagai Persediaan SPM

By 26 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Syed Hisham Shah (Putrajaya) 

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaktif) – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kuching, Jonathan Lim Hao, 17, berbesar hati menerima bantuan komputer riba untuk kegunaan murid-murid tingkatan 5 di sekolah-sekolah seluruh negeri Sarawak.

Menurutnya bantuan tersebut amat bermakna buatnya terutama sebagai persiapan melengkapkan diri menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Jonathan Lim berharap komputer riba ini dapat membantu beliau mencapai keputusan cemerlang

Jonathan Lim berharap komputer riba ini dapat membantu beliau mencapai keputusan cemerlang

“Saya amat seronok menerima komputer riba ini kerana ia amat bermakna dan penting bagi saya mempersiapkan diri dalam SPM tak lama lagi,” ujarnya selepas menerima sumbangan tersebut daripada Perdana Menteri di sini, siang tadi.

Jonathan antara 33,000 orang pelajar sekolah menengah tingkatan lima di Sarawak yang akan memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut yang diedarkan secara pinjaman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Komputer riba tersebut juga akan dikumpulkan semula untuk dipinjamkan kepada murid-murid tingkatan lima tahun berikutnya.

Menurut Bekon Jenet, Pengetua SMK Sungai Tapang, pelaksanaan program ini sebenarnya satu amanah yang cukup berat untuk dilaksanakan.

Pengetua SMK Sungai Tapang ini berharap bantuan ini memanfaatkan lebih 200 pelajar tingkatan lima sekolahnya

Pengetua SMK Sungai Tapang ini berharap bantuan ini memanfaatkan lebih 200 pelajar tingkatan lima sekolahnya

“Menjadi perintis ibaratnya menjadi ‘benchmark’ kepada yang lain untuk dicontohi. Sekiranya kami gagal menunjukkan prestasi cemerlang maka kami gagal memenuhi ekspektasi pihak kerajaan.

“Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin terutamanya dalam membantu pelajar-pelajar menghadapi SPM,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan di pejabat Perdana Menteri di sini.

Beliau juga menyifatkan bantuan ini sebagai pendekatan terbaik mendedahkan pelajar dengan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejajar dengan usaha kerajaan melebarkan penggunaan jalur lebar di seluruh negara.

 

-SH

Tinggalkan komen anda