Skip to main content
Home

Tiga Pusat Pemindahan Dibuka Semula Di Kuala Muda

By 20 September 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

ALOR SETAR, 20 Sept — Tiga pusat pemindahan di daerah Kuala Muda yang ditutup petang semalam dibuka semula 4 pagi tadi selepas berlaku gelombang kedua fenomena air pasang besar.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata setakat 9 pagi tadi, seramai 132 orang dari 30 keluarga dipindahkan.

Pusat tersebut ialah di Dewan Kampung Paya yang menempatkan 85 orang dari 17 keluarga, Surau Kampung Sungai Yu yang menempatkan 39 orang dari 10 keluarga dan Sekolah Kebangsaan Seri Kuala yang menempatkan lapan mangsa dari tiga keluarga.

Beliau berkata air mula naik kira-kira 3 pagi dan penduduk dipindahkan selepas paras air mencecah satu meter.

Azahar berkata ketinggian ombak pada 2.7 meter beserta angin kencang menyumbang kepada fenomena berkenaan.

“Bagaimanapun trend ombak besar telah menunjukkan penurunan berbanding Ahad lepas yang mencatatkan ketinggian 2.9 meter,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu tiga pusat yang menempatkan 432 orang dari 113 keluarga Ahad lepas telah ditutup pada 5 petang semalam.

 

– Bernama/ Foto Harian Metro

Tinggalkan komen anda