Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Hari Malaysia Papar Perpaduan Melalui Kebudayaan, Kesenian

By 16 September 2016Tiada komen1 minit bacaan
Oleh Nur Effa Maruf & Volintine Jiloh (Sabah)

 KOTA KINABALU, 17 September (Malaysiaktif) – Persembahan khas kebudayaan dan keseniaan pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2016 memaparkan mesej perpaduan di negara ini.

Ketua Koreografer Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Samsul Ismail berkata, persembahan tersebut menyampaikan mesej perpaduan kepada generasi muda yang mendapat banyak manfaat daripada pembentukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Melalui kebudayaan dan kesenian, kita sebenarnya dapat bersatu dan membentuk satu identiti yang kukuh lebih-lebih lagi Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum.

“Elemen-elemen penyatuan budaya yang disampaikan daripada persembahan ini adalah untuk memperlihatkan keharmonian dan kemakmuran yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia.

“Kami juga dapat mempamerkan lagu-lagu patriotik, semangat perjuangan dan juga kemajuan pembangunan negara yang telah dikecapi berdasarkan prinsip lima rukun negara,” jelasnya.

Menurutnya, persembahan itu dijayakan 140 orang yang terdiri daripada lima buah kumpulan iaitu Budaya Maju, Kitte Move, Gym For Life dan SK Stella Maris selain JKKN.

Sambutan Hari Malaysia di Dewan Serbaguna Likas pagi tadi, dihadiri kira-kira 3,000 orang dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Datuk Mahiruddin.

Antara acara yang dilaksanakan pada sambutan itu adalah Kawalan Kehormatan Utama dari Rejimen Askar Melayu DiRaja(RAMD), perbarisan 17 kontinjen, lafaz ikrar Rukun Negara dan nyanyian beramai-ramai lagu ‘Warisan’ dan ‘Inilah Barisan Kita’.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda