Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

JobsMalaysia Pemudah Cari Kerja Mengikut Kelayakan

By 5 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 5 Sept (Malaysiaaktif) – Sebanyak 952 peluang pekerjaan ditawarkan kepada individu yang masih mengganggur dan mencari jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan dalam Karnival Kerjaya pada Sabtu.

Kira-kira 1,600 pemohon hadir di karnival yang disertai oleh 22 agensi bertempat di Menara Persekutuan, Ayer Keroh termasuk daripada luar Melaka seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Menurut seorang penjawat awam, Masrah Asnawi Sabri, 53, dia ke situ menemani anak ketiganya yang mempunyai Diploma Grafik dan Seni Reka daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu untuk menghadiri temuduga tersebut sebagai tanda galakan dan sokongan.

Apa yang lebih menggembirakan, anaknya, Nur Sabrina Mohd Razali, 21, yang kini bekerja sebagai jurujual menerima tawaran untuk menjalani temu duga sebenar bagi jawatan Pereka Grafik.

Jawatan kosong yang dipamerkan 2

Antara jawatan kosong yang dipamerkan di Karnival Kerjaya.

 

“Walaupun anak saya sedang bekerja sekarang, namun saya menggalakkan dia untuk mencuba memohon pekerjaan yang sesuai dengan diploma yang dia ada kerana dia memang minat membuat grafik. Kerja yang dia buat sekarang untuk tambah pengalaman saja.

“Karnival sebegini memang banyak membantu anak-anak muda mencari kerja, dan di waktu yang sama mereka boleh mendapatkan nasihat jenis pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang ada,” kata Masrah.

Dalam pada itu, Pengurus JobsMalaysia Centre (JMC) Melaka, Rohana Wan Omar Fadzil berkata, karnival ini merupakan program yang julung kali dilakukan oleh JMC kerana selalunya urusan hanya dilakukan melalui dalam talian atau secara manual ke Pejabat Tenaga Kerja (PTK), premis majikan atau melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Rohana bersama Syamsinar Hashim, Pen Pengarah Tenaga Kerja Kanan dan Zaini bt Bahron Mohamed, Ketua Penolong Pengarah Tenaga Kerja

Rohana (kiri) bersama Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Syamsinar Hashim (tengah), dan Ketua Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Zaini Bahron Mohamed (kanan).

 

“Kami telah merancang untuk membuat karnival ini bermula Februari lepas dengan matlamat untuk meningkatkan penempatan pekerja tempatan dan mengelak jawatan itu dipelopori oleh warga asing.

“Saya nasihatkan pemohon yang datang ke karnival sebegini agar berpakaian kemas, sediakan resume anda dan belajar cara berkomunikasi yang baik. Segala nota mengenainya juga telah kami sediakan dalam portal kami,” jelas Rohana.

Menurut Rohana, berikutan ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan dan ditawarkan berhenti secara sukarela (VSS) oleh majikan mereka, JobsMalaysia akan membantu golongan ini untuk mendapatkan pekerjaan semula.

“Laporan hendaklah dibuat ke PTK untuk VSS, masalah syarikat ditutup dan sebagainya. Dari rekod yang diperoleh, PTK akan hantar maklumat pada kami untuk tindakan membantu tempatkan mereka,” ujar Rohana.

Tambahnya, JobsMalaysia akan membuat padanan jawatan dan sesetengahnya akan terus ditemu duga dengan kerjasama majikan yang tamatkan mereka.

“Peluang yang ditawarkan oleh majikan hendaklah direbut oleh pemohon dengan membuat persediaan yang secukupnya dan tidak perlu terlalu memilih pekerjaan,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda