Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanViral

AKSB Didesak Rombak Pengurusan

By 4 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh Yuslina Ibrahim dan Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Pasir Mas)

PASIR MAS, 4 Okt(Malaysiaaktif) – Gabungan NGO yang dikenali sebagai Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (RESTORASI) semalam mendesak supaya pihak pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) merombak dan menyusun semula pengurusan tertinggi agensi tersebut berikutan masalah air di negeri ini masih berlarutan dan tiada penghujungnya.

Berikutan rasa tidak puas hati dengan AKSB, ahli RESTORASI yang terdiri daripada 100 orang telah berkumpul secara aman dengan memegang sepanduk di hadapan Pejabat AKSB yang baru mula beroperasi semalam di Lubok Jong, di sini. Antara NGO yang hadir ialah Solidariti Anak Muda, Majlis Belia dan sebagainya.

Indeks kekeruhan bagi air terawat di Malaysia adalah 2, tetapi indeks kekeruhan air di Kelantan adalah pada skala 9.

Indeks kekeruhan bagi air terawat di Malaysia adalah 2, tetapi indeks kekeruhan air di Kelantan adalah pada skala 9.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Shahbudin Hashim berkata pihaknya yang membawa suara rakyat mengadakan himpunan tersebut sebagai tanda protes kepada AKSB supaya merombak pengurusan tertinggi agensi tersebut memandangkan masalah air di negeri ini masih tiada penghujungnya.

Menurut beliau, indeks kekeruhan air yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ialah 2 peratus, tetapi indeks kekeruhan air di negeri Kelantan ketika ini adalah pada paras 9 peratus.

“Tekanan air yang ditetapkan oleh SPAN ialah 80 peratus, tetapi di Kelantan indeks tekanan air hanya mencatat 40 peratus. Bekalan air bersih di sini ketika ini ialah 54 peratus dan yang ditetapkan oleh SPAN ialah 77 peratus,” ujarnya lagi.

Kerajaan Negeri Kelantan telah diperuntukkan dana sebanyak 877 juta oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan melaksanakan penambaikan pengurusan air di negeri ini, tetapi masalah air masih lagi berlaku.

Melalui himpunan ini AKSB didesak supaya membuat rombakan pengurusan tertinggi agensi tersebut supaya masalah yang dihadapi kini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Perjanjian di antara Kerajaan Negeri dan Pusat berkaitan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan telah dimenterai pada 14 September 2016.

Perjanjian ini merupakan salah satu agenda nasional Kerajaan Persekutuan yang memperkenalkan Akta Industri Perkhidmatan Air  pada 2006 dan dikuatkuasakan pada tahun 2008.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda