Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Anifah Nafi Ada Kaitan Dengan Pegawai Kanan Ditahan SPRM

By 10 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohammad Abdul Rahman (Sabah) / Foto The Star

KIMANIS, 10 Okt (Malaysiaktif) – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyangkal dakwaan bahawa beliau dan partinya (bahagian Kimanis) mempunyai kaitan dengan dua pegawai kanan kerajaan di Sabah yang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa.

“Dakwaan ini adalah tidak munasabah sama sekali. UMNO Kimanis dan saya tidak mempunyai kaitan atau terbabit sama sekali dalam kes yang sedang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat.

Anifah, Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Kimanis, berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan berbaur fitnah itu jika terus disiarkan.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugasnya dengan adil tanpa sebarang campur tangan.

Terdahulu Ketua Biro Penerangan Kimanis, Yusuf Minin turut menyangkal dakwaan seorang blogger Pro Pembangkang Sabah pada Rabu lepas cuba mengaitkan kes seorang pegawai kanan  berjawatan pengarah di sebuah agensi kerajaan negeri di sini yang sedang disiasat oleh SPRM merupakan Bendahari UMNO Kimanis,

“Dakwaan tersebut tidak benar kerana bendahari ialah Datuk Mohd Rizal Abdullah alias Raymund Godfrey. Mereka yang ditahan bukan pun ahli UMNO Kimanis,” jelasnya.

Dua pegawai kanan kerajaan, seorang pengarah dan timbalannya adalah antara suspek yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

SPRM merampas wang tunai lebih RM114.5 juta dalam serbuan di pejabat dan rumah suspek-suspek tersebut yang kini direman sehingga 11 Oktober untuk membantu siasatan.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda