Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Festival Kampong Bharu Pamer Keunikan Makanan Melayu

By 2 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan Foto oleh : Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Malaysiaaktif) – “Penganjuran Festival Makanan Melayu Kampong Bharu mengingatkan kita tentang keunikan dan kenikmatan makanan Melayu yang diwarisi turun temurun”.

Demikian ucapan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur semasa perasmian Festival Makanan Melayu Kampong Bharu bertempat di Gerbang, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini semalam.

“Masyarakat di kota besar dikelilingi pelbagai makanan barat dan makanan segera. Justeru, festival sebegini membolehkan kita mengimbas kembali nostalgia seperti nasi kerabu, nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang, nasi ambeng dan juga kuih muih tradisional”, ujar beliau.

acf59fd2-449c-494a-a44c-39ab1ee731cf

Festival yang berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober 2016, mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam bertujuan memperkenal dan memartabatkan makanan Melayu yang terdapat di Kampung Baru kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

“Festival ini juga dapat mempertingkatkan sosio ekonomi masyarakat Kampung Baru selaras hasrat dan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera”.

“Pihak Perbadanan Kampung Baru (PKB) juga telah menyediakan aplikasi pintar yang dinamakan ‘Mobile Apps Food Heaven Kampong Bharu’ yang boleh dimuat turun di ‘play store’ telefon pintar bagi membolehkan orang awam membuat penarafan mengenai kualiti makanan yang terdapat di Kampung Baru”, ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga mencadangkan agar Gerbang Kampung Baru dijenamakan semula sebagai ‘The Gerbang’ bagi menarik minat pengunjung.

Menurut Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari, “PKB juga telah menghantar cadangan kepada Perdana Menteri tentang pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki yang diberi nama ‘Saloma Link’ bagi menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kampung Baru bagi memberi kemudahan kepada pengunjung dan masyarakat setempat”.

744644c9-d919-44ad-b3e1-677990581873

Pengunjung, Mohd Ridzuan Yusoff dari Taman Keramat

Seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Ridzuan Yusoff dari Taman Keramat berpendapat, “Program seperti ini dapat mengenengahkan makanan di Malaysia terutamanya di Kampung Baru yang juga sebagai sebuah penempatan orang Melayu di bandar.”

“Kampung Baru juga boleh di jadikan hub makanan di Kuala Lumpur kepada pelancong dalam dan luar negera”, tambah beliau lagi.

b49eaf71-4f74-4031-927d-c0caceb33cb3

Usahawan pau cendawan, Mazura Roslan

Manakala bagi usahawan pau cendawan, Mazura Roslan yang menyertai festival ini pula menyifatkan, “Program seperti ini dapat membantu usahawan Bumiputera dalam memperkenalkan produk mereka, seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.”

Seramai 74 peserta terlibat dalam festival yang menjual masakan Melayu dan buah-buahan ini termasuk “Food Truck” dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Acara lain yang turut diadakan adalah demonstrasi masakan tradisi seperti bubur lambuk dan nasi lemak bagi membolehkan pengunjung mendapatkan gambaran cara-cara penyediaan makanan yang sinonim dengan Kampung Baru.

Program turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Amin Nordin Abd Aziz dan Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

-DK

Tinggalkan komen anda