Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jemaah Haji Saling Membantu Mengejar Haji Mabrur

By 12 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Zuraidah Ahmad (Sabah)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaktif) – Haji mabrur atau haji yang sempurna dikerjakan kerana memenuhi segala rukun dan wajib haji menjadi impian setiap jemaah.

Bagi yang muda dan cerdas bergerak seperti kakitangan Jabatan Pertanian Daerah Kecil Menumbok, Abdul Rahman Gudiman, 54, dia memanfaatkan kesihatannya dengan sebaik mungkin kerana peluang mengerjakan ibadah haji merupakan kesempatan paling berharga buat dirinya.

“Sementara saya masih sihat, saya mengerjakan sebaik-baiknya ibadah seperti umrah, tawaf, saie dan sebagainya bersama rakan-rakan.

Antara jemaah yang tiba

“Jemaah saling membantu semasa melontar,” kata Abdul Rahman

“Ada masanya, kami menghulurkan bantuan dari segi tenaga membantu rakan jemaah yang kurang berkemampuan untuk bergerak cergas terutama semasa melontar dan sebagainya, kerana menolong itu ialah ibadah, mudah-mudahan kita mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas berkerusi roda dari Kota Belud, Telaku Dayang Ampai Sayaan Datok Bin, 83, yang seronok berada di Tanah Suci dan sedikit pun tidak berasa tertekan kerana ada sahaja pihak yang sentiasa memberi bantuan kala dia memerlukan.

“Mak cik seronok sebab banyak jumpa dengan kawan baharu. Walaupun tidak dapat bergerak, ramai jemaah lain membantu.

“Bermula di lapangan terbang di Kota Kinabalu hingga ke Jeddah, semua barang mak cik dibantu oleh anggota polis dan pegawai Tabung Haji (TH). Terima kasih kerana mendoakan mak cik mendapat haji mabrur.

“Mak cik sangat berterima kasih kepada TH Sabah kerana prihatin dengan keperluan warga emas seperti mak cik. Layanan mereka juga mesra dan sangat baik,” kata Telaku Dayang ketika disambut oleh cucu-cucunya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (LTAKK), pada awal pagi Selasa.

Berbeza dengan warga emas dan juga balu, Tiambang Amin, 60, juga dari Kota Belud yang mampu bergerak sendirian tanpa sebarang masalah. Beliau mendaftar dengan TH Sabah sejak tiga tahun lalu.

Ibu kepada enam anak dan lebih 10 cucu itu juga kelihatan sangat mesra dan berkeyakinan tinggi.

haji-sabah-3“Walaupun saya balu dan pergi menunaikan fardhu haji sendirian, saya tidak risau kerana percaya kepada para pegawai TH Sabah. Kehadiran mereka banyak membantu saya serta para jemaah lain selama berada di sana.

“Sepanjang berada di Tanah Suci, saya juga berdoa semoga Allah memberi rahmat, kesihatan dan haji yang mabrur,” ujarnya.

Dalam pada itu, peluang mengerjakan fardhu haji bersama pasangan juga ialah satu rahmat. Ketua Wanita Umno Beaufort, Siti Aminah Aching bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini.

“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur kerana diberi peluang menunaikan Rukun Islam kelima dan berdoa semoga ini bukan panggilan terakhir untuk kami. Kami berharap dapat peluang mengerjakan haji lagi pada masa akan datang.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TH Sabah terutama Pengarahnya, Datin Norlaila Said yang sangat prihatin. Beliau menghantar kami semasa berangkat ke Jeddah dan pada hari ini, subuh ini, dia juga menyambut ketibaan kami,” ceritanya sejurus tiba di LTAKK dengan pesawat KT41S bersama 150 jemaah iaitu kumpulan jemaah terakhir Sabah pada 3.55 pagi Selasa.

-SF

Tinggalkan komen anda