Oleh: Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
SEMPORNA, 10 Okt (Malaysiaktif) – Mekanik yang mengusahakan sebuah bengkel di Lahad Datu yang hanya mahu dikenali sebagai Jashan, 32, dinobatkan sebagai Penerima Anugerah ‘Best of the Best’ Auto Show Semporna 2016.
Kegigihan serta keyakinan diri terhadap inovasi yang dicipta ke atas kereta proton Wira sedan dengan nombor pendaftaran SD 2119 B, nyata membuahkan hasil apabila dia memenangi kategori ‘The Best Sedan’.
Menurutnya, kemenangan kali ke-25 itu tidak sedikit pun membuatnya bosan sebaliknya semakin bersemangat untuk menghasilkan ciri modifikasi yang lebih mantap untuk kepuasan diri.
“Saya mula menceburi bidang ini pada 2011 dengan membuat sedikit demi sedikit ubah suai terhadap kereta Wira dan sudah menyertai auto show di seluruh Sabah.
“Anggaran kos yang sudah saya belanjakan sejak mula hingga hari ini sekitar RM 60,000 tidak termasuk beberapa bahagian yang saya buat sendiri.
“Enjin berfungsi seperti biasa cuma saya tidak menggunakannya di atas jalan raya kerana kenderaan ini hanya untuk auto show. Semalam, saya bawa kereta ini dari Lahad Datu menggunakan lori milik kawan demi memastikan tiada sebarang kecatatan atau kekotoran melekat pada cat atau tayar.
“Rekod terbaik saya ialah mendapat naib johan dan tempat ketiga sahaja, belum pernah menjadi juara sebelum ini. Kategori yang saya minat ialah kreativiti, ‘costume’, ‘sound blast’ dan modifikasi enjin,” ceritanya dengan rasa rendah diri.
Apa yang lebih membanggakan, pemuda yang tinggal di Taman Sri Perdana ini sangat berjiwa patriotik. Walau setinggi manapun daya kreativitinya, dia tetap mengekalkan logo produk buatan Malaysia di bahagian hadapan bonet.
Berbeza dengan pemenang naib johan kategori Open Saloon, Ejat, 30, yang berasal dari Sandakan yang meminati bidang itu sejak 2012 dan mempertaruhkan proton Saga edisi terhad SS 7910 J.
Mengenakan cat jenis ‘candy green’ di bahagian badan kenderaan dan merah di bahagian bonet enjin, rim ‘chrome’ saiz 18 dengan modifikasi moden serta menggunakan tinted hitam nombor dua sekali gus menyerlahkan keindahan seninya.
Ejat bertuah kerana sering mendapat sokongan daripada rakan-rakannya. Malah, dia turut mengambil nasihat rakannya supaya tidak sekali-kali menjual kenderaan yang membawa tuah dan sudah banyak berjasa kepada dirinya.
Apa yang pasti ialah auto show sempena Program Semarak Komuniti 1Malaysia yang berlangsung di Dataran Semarak Semporna pada Sabtu, dilihat berjaya menjadi medan yang menghimpunkan lebih 5,000 peminat pameran kereta yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Selain ‘Open Saloon’ dan ‘Best Sedan’, auto show itu turut mempertandingkan beberapa kategori seperti Motosikal, Skuter, ‘Best Diesel’, ‘Best Retro Car’, ‘Best Compact Car/Kcar’ dan ‘Best Stance and Fitments’.
–SF