Oleh: Marlina Jamarin & Haraini Jaudee (Sabah)
KOTA KINABALU, 10 Okt (Malaysiaktif) – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Sabah 2016 di Kompleks Sukan Likas pada Sabtu merupakan hari yang cukup sesuai untuk mengayuh basikal bersama keluarga.
Dianggarkan seramai lebih 20 ribu rakyat Sabah memeriahkan sambutan HSN berkenaan bersama-sama ahli keluarga.
Bagi pasangan suami isteri muda Ron dan Lowen, peluang sempena program ini tidak akan disia-siakan, kegemaran santai bersama keluarga dengan cara berbasikal merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Katanya, kami sekeluarga sering berbasikal di kawasan lapang seperti Taman Awam Teluk Likas mahu pun kawasan berhampiran tempat tinggal bersama anak-anak yang berumur setahun dan tiga tahun.
“Terdorong terhadap minat berbasikal ini, saya telah mereka cipta sebuah basikal khas untuk isteri dan anak-anak bagi bersantai mengayuh basikal bersama-sama khususnya di hujung minggu atau semasa penyertaan apa-apa acara terbuka seperti HSN ini.
Ditanya tentang kos ciptaannya, Ron hanya tersenyum “agak besar juga mencecah ribuan ringgit,” katanya dengan mesra ketika ditemui pada pelancaran program berkenaan.
Tambahnya, sekiranya ada masa lapang dan terluang mereka sekeluarga sememangnya tidak ketinggalan untuk menyertai sebarang bentuk anjuran yang melibatkan kayuhan basikal.
“Selain untuk suka suka, ini juga merupakan salah satu cara untuk menjaga kesihatan tubuh badan sambil dapat bermesra bersama keluarga dan membawa anak-anak menikmati panaroma persekitaran pantai yang cantik,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman semasa merasmikan program tersebut menyeru agar setiap rakyat di negeri ini dapat menjadikan HSN sebagai peluang meningkatkan perpaduan melalui sukan.
Di samping itu, pelancaran serentak turut diadakan di setiap daerah seluruh Sabah antaranya di daerah Tenom yang dianggarkan dihadiri seramai 3000 penduduk yang berhimpun di padang Pekan Tenom.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Radin Malleh berkata kerajaan sentiasa komited untuk memastikan rakyat terus cergas, sihat dan sejahtera melalui penganjuran program berbentuk kesukanan.
“Sukan ialah platform terbaik memupuk budaya masyarakat bersatu tanpa mengira kaum dan latarbelakang, “ ujaranya ketika merasmikan Program sama di Peringkat Daerah Tenom.
Selain daerah Tenom antara daerah lain yang turut terlibat dalam program berkenaan ialah Penampang, Kuala Penyu, Tongod, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Kota Belud dan Keningau.
–SF