Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Seorang Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ramesh a/l Krishnan merasa amat bangga apabila anaknya antara 159 orang yang mendapat semua A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini yang diumumkan sebentar tadi.
Anak bongsunya, Charan Sankara yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Melaka (Kubu), berjaya mendapat 8A dan bercita-cita untuk menjadi seorang Pakar Bedah Jantung apabila dewasa nanti.
“Saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor tetapi tidak tercapai, dan saya pernah berbual dengan anak saya tentang pelbagai profesion dan memberikan signifikan profesion yang diperlukan masyarakat. Jadi dia mungkin memikirkan tentang itu dan cuba belajar sendiri,” kata Ramesh.
Menurutnya, dia amat mementingkan keselesaan anaknya untuk belajar termasuk menyediakan jadual pembelajaran dan menghantarnya ke pusat-pusat tuisyen.
“Selain daripada aktiviti pembelajaran, saya memberi penekanan juga kepada ko-kurikulum, sukan dan turut menghantarnya ke kelas muzik supaya ada perkembangan yang seimbang. Saya rasa itu sangat penting untuk memastikan pembangunan yang menyeluruh,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari berkata calon peperiksaan UPSR tahun ini merupakan kohort pertama yang telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak berada di Tahun Satu pada tahun 2011.
“Hasrat transformasi kurikulum dan pentaksiran pada peringkat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” ujarnya ketika ditemui selepas Pengumuman Keputusan UPSR di Dewan Kolej Yayasan Saad, tadi.
Pada tahun 2016, sejumlah 13,302 orang calon yang berdaftar untuk menduduki UPSR, dan daripada jumlah itu seramai 7,964 di daerah Melaka Tengah, 3,148 di daerah Alor Gajah manakala 2,190 di daerah Jasin. Namun, calon yang menduduki UPSR hanya seramai 13,261 calon.
“Gred Purata Pencapaian Calon Peperiksaan UPSR tahun ini adalah 2.83. Pencapaian calon peperiksaan UPSR tahun 2016 dilaporkan berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan yang baharu tanpa membuat perbandingan dengan pencapaian calon tahun yang lalu,” katanya.
Tambahnya, keputusan peperiksaan UPSR merujuk kepada tahap pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, pembelajaran dan prestasi seperti yang termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bukan merujuk kepada lulus atau gagal.
“Murid yang telah menduduki peperiksaan UPSR 2016 boleh mendapat pernyataan keputusan peperiksaan UPSR berserta dengan pelaporan Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) mulai jam 10.00 pagi di sekolah masing-masing,” kata Abu Bakar.
Keputusan peperiksaan juga boleh disemak melalui sistem pesanan ringkas, mySMS 15888, mulai pukul 10.00 pagi hari ini sehingga 11.59 malam 23 November 2016 selain melayari portal Lembaga Peperiksaan.
-DZ