
Gambar hiasan/sumber
SHAH ALAM, 17 Nov — Jumlah mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan di Selangor susulan fenomena air pasang besar masih kekal 78 orang daripada 16 keluarga setakat 9 pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 71 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.
Sementara tujuh mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Banting, Kuala Langat, katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata Ban Tebuk Mendeling dan Ban Sungai Air Tawar di Sabak Bernam yang pecah menyebabkan air masih melimpah ke kawasan sekitar.
Bagaimanapun, katanya, ban mini berjaya menahan air pasang besar daripada masuk ke kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Air Tawar.
“Ban mini ini akan ditinggikan dan pembinaan ban mini kedua akan diteruskan setelah air surut. Pam-pam juga beroperasi dengan baik dan mangsa banjir masih berada di Pusat Pemindahan Dewan Sungai Air Tawar,” katanya.
Ahmad Fairuz dalam pada itu berkata, bagi daerah Kuala Langat, air mulai surut di Kampung Sungai Nangka dan Kampung Kelanang.
Pesisir Pantai Kelanang dan Tanjung Sepat juga dalam keadaan baik dan tiada limpahan air, katanya.