Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kelibat Buaya di Sungai Kesang, Penduduk Diminta Berwaspada

By 22 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 22 Nov (Malaysiaaktif) – EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman telah menerima aduan akan kewujudan buaya semenjak dua minggu lalu di Sungai Kesang di sini.

“Orang ramai diminta berhati-hati jika ingin beriadah di sekitar Laman Belia dan Jalan Ampas, Sungai Rambai kerana kita telah melihat kelibat buaya sepanjang dua minggu ini secara agresif.

“Positifnya, kita akan pelihara kawasan ini daripada pencerobohan termasuk kerja-kerja penggalian dan remaja yang suka mandi-manda di situ kerana risau buaya tersebut akan mengganas.

4

“Kawasan ini akan kita pelihara kerana ia telah dikenal pasti sebagai lubuk buaya,” katanya kepada Malaysiaaktif yang ditemui ketika proses meletak papan tanda amaran buaya di Sungai Kesang, semalam.

Tambahnya, buaya yang berukuran lebih enam kaki itu turut dikenal pasti oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai sejenis buaya yang bertelur.

“Buaya yang bertelur adalah sejenis buaya yang ganas, maka sesiapa yang ingin beriadah di sini perlu berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan buaya-buaya ini terganggu,” jelas Hasan.

Menurutnya lagi, jika terdapat sebarang aktiviti yang ingin dilakukan di sana, orang ramai perlu mendapatkan bantuan pengawasan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau Polis Marin.

5

 

“Kita juga positif wujudnya buaya di sini bermakna ekosistem dia masih belum terjejas. Dengan adanya buaya bermakna sudah pasti ada udang galah,” katanya.

Justeru, Hasan turut merancang untuk mengadakan aktiviti pelepasan benih udang galah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Norzakiahanum Mohd Nor berharap agar orang ramai tidak panik ataupun melakukan sebarang provokasi jika terlihat kelibat buaya.

“Sekarang musim hujan, banyak kawasan yang dinaiki air dan ban-ban juga pecah. Saya risau buaya akan naik ke kawasan yang rendah dan atas sebab itu diharap semua sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda