SERDANG, 22 Nov — Hampir 30,000 sukarelawan akan mencurahkan khidmat dan tenaga dalam membantu menjayakan penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) dari 24 Nov hingga 4 Dis ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata program kesukarelawan itu adalah yang pertama kali dianjurkan untuk acara dwitahunan MAHA dalam usaha menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti sebegini.
“Mereka terdiri daripada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), peserta Program Mahasiswa Turun Padang (MANTAP), pelajar luar negara, peserta 1M4U dan sukarelawan Standard Chartered Bank,” katanya kepada pemberita selepas Program Pencarian Sukarelawan MAHA 2016 di UPM di sini, hari ini.
Katanya antara khidmat yang akan melibatkan sukarelawan dikenali ‘Agro Troopers’ itu adalah sebagai penunjuk arah kepada pengunjung, menyediakan bantuan kepada golongan kurang upaya dan menyebarkan maklumat dan risalah berkaitan MAHA.
“Kita harapkan dengan adanya program sukarelawan ‘Agro Troopers’ ini, ia dapat mewujudkan satu kumpulan belia yang sentiasa menyokong usaha-usaha dan program-program yang dilaksanakan oleh kementerian,” katanya.
MAHA 2016 yang akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.