Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanViral

Kerjasama Rakyat /SPRM Penting Untuk Memerangi Rasuah

By 27 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Faizal Manso/ Foto oleh Jeffrey Nian

LABUAN, 26 Nov (Malaysiaaktif) — Usaha pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menangani gejala rasuah secara berterusan disambut baik oleh masyarakat.

Bagi pemimpin masyarakat perniagaan Cina di pulau ini, Peter Ling Kee Ching, 70, segala pendekatan yang diambil oleh pihak SPRM menjurus kepada pemupukan tahap integriti dan tentunya patut dipuji.

Sehubungan itu, dialog Merakyatkan SPRM Bersama Komuniti Cina, NGO dan Media yang diadakan di sini kelmarin dianggap satu lagi anjakan positif ke arah matlamat tersebut.

bb497e84-7072-4aa2-a43f-f97cb7ae5154

Beliau berkata melalui inisiatif ini mesej penting sifat integriti dalam memerangi rasuah, khususnya, dapat disampaikan kepada masyarakat Labuan dengan lebih berkesan.

Senada dengan tanggapan itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli juga berkata kerjasama antara masyarakat dan SPRM itu penting, tidak kira samada bagi penjawat awam mahu pun pemimpin masyarakat.

Menurut Rozman lagi, budaya integriti bertindak sebagai perisai bagi membendung gejala rasuah agar ia tidak menghalang anjakan negara ke arah mencapai matlamat kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, beliau berkata usaha untuk membudayakan amalan integriti bukan sahaja dipikul oleh pihak SPRM, tetapi juga merupakan tanggungjawab setiap ahli masyarakat, dan tidak terkecuali jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Dalam pada itu, Rozman turut memberi penghargaan kepada peranan media dalam menyebarluaskan kempen- kempen anti rasuah dengan memberikan liputan mengenai kejayaan pihak SPRM dalam kes-kes rasuah selama ini.

Sempena majlis tersebut, Timbalan Pengarah SPRM Sabah, Hasbillah Mohamad Salleh turut memberikan taklimat mengenai peranan komuniti, NGO serta media dalam memerangi rasuah.

Turut hadir Pengarah SPRM Labuan, Abu Talib Othman.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda