Skip to main content
HomeViral

Pemerdagangan Bayi: JPN Pandang Serius Pegawai Terbabit

By 27 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

PUTRAJAYA, 27 Nov — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memandang serius laporan Al Jazera pada Jumaat lalu yang turut mengaitkan pegawai JPN dengan sindiket penjualan bayi di negara ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli berkata JPN tidak akan berkompromi sekiranya betul pegawai JPN terbabit dalam perkara itu.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan tersebut didapati benar,” kata Mohd Yazid dalam satu kenyataan.

Laporan di bawah tajuk ‘Malaysian Babies For Sales’ itu turut menyebut soal pemalsuan dokumen kelahiran bayi dengan dibantu pegawai yang berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara,

Beliau juga berkata JPN mendaftar setiap kelahiran kanak-kanak tanpa prejudis dan tanpa mengira status kanak-kanak tersebut.

“Sekiranya syarat permohonan dipenuhi dan dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah teratur dan lengkap, permohonan itu boleh diterima dan diproses untuk pengeluaran sijil kelahiran,” kata Mohd Yazid.

Beliau menambah setiap pendaftaran kelahiran yang dilaksanakan di kaunter pendaftaran akan disemak oleh pegawai penyelia, dengan merangkumi dokumen asal dan salinannya, borang serta maklumat yang telah direkodkan di dalam sistem.

“Sekiranya semakan tersebut mendapati ianya lengkap, teratur dan sempurna, barulah sijil kelahiran akan dikeluarkan oleh penyelia. Jika permohonan tidak lengkap atau tidak memenuhi prosedur, permohonan pendaftaran kelahiran akan ditangguh sehingga pemohon dapat melengkapkan dokumen serta maklumat yang diperlukan.

“Jika terdapat keraguan, permohonan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

 

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda