Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Komunikasi Radio Amatur Diperkenal di 85 Sekolah di Melaka

By 14 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 85 wakil sekolah rendah dan menengah terlibat dalam Pengenalan Radio Amatur di Sekolah dan Klik Dengan Bijak (KDB) yang diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah, di sini pada Sabtu.

Penyelaras dan pengasas Kelab Radio Amatur, Nor Azizah Shaari dijemput untuk berkongsi pengalamannya sepanjang penglibatannya dalam bidang tersebut sejak tahun 2011 bersama guru-guru penyelaras unit beruniform yang hadir.

Nor Azizah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin berkata program tersebut bertujuan supaya guru-guru memahami peranan dan tanggungjawab sebagai pengguna teknologi maklumat dan komunikasi radio amatur secara berhemah dan bijak.

3

 

“Penggunaan radio amatur di dalam bidang komunikasi amatlah luas kerana dapat digunakan bagi menghubungkan seseorang yang berada sama ada dalam kawasan atau ke seluruh dunia dengan menggunakan set radio amatur yang tertentu pada frekuensi yang tertentu,” ujarnya.

Menurutnya, Radio Amatur di sekolah pula merupakan satu program penggayaan. Ia berkait rapat dengan konsep dalam Sains, Matematik, Komunikasi, Goegrafi, Kemahiran Hidup dan Nilai-nilai Murni yang diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Radio Amatur dan pendidikan di sekolah adalah sinergi. Melalui radio amatur murid-murid boleh membangunkan dan menggunakan kemahiran akademik secara efektif,” ujar Nor Azizah.

4

Tambahnya, Radio Amatur menyediakan peluang yang unik untuk murid-murid melibatkan diri dalam penemuan sains interaktif yang sahih serta dapat menjalinkan hubungan budaya di seluruh dunia.

Jelasnya, taklimat tersebut dijalankan bagi mendedahkan guru-guru dengan ilmu penggunaan   Radio Amatur yang betul dalam mengendalikan aktiviti untuk murid-murid sekolah.

“Hasrat saya nak kembangkan aktiviti radio amatur di sekolah-sekolah di negeri Melaka ini sebab banyak manfaat yang saya nampak setelah saya buat kajian di internet berkaitan radio amatur di sekolah luar negara,” jelasnya.

Kata Nor Azizah, setakat ini hanya sekolah tempat dia bertugas sahaja yang memiliki kemudahan tersebut dan itu menyebabkan dia ingin membantu sekolah lain juga.

2

“Saya juga berkempen agar sekolah-sekolah di daerah Jasin memohon lesen radio amatur untuk sekolah masing-masing. Jadi, semua warga sekolah boleh gunakan komunikasi ini secara sah walaupun tiada lesen individu,” katanya.

Program tersebut turut disertai oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab untuk memastikan dan mengawal selia teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia.

Dalam pada itu, slot Klik Dengan Bijak turut diselitkan dengan tujuan melahirkan guru-guru yang peka terhadap teknologi dan kandungan media baru serta mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan guru supaya beretika dan prihatin terhadap penggunaan laman sosial selain menjaga kerahsiaan negara, organisasi dan individu.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Dr. Azam Ahmad dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Mohd Mogni Hamzah.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda