Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Orang Melayu Dahulu Belajar Dari Unsur Alam – Ab Rani Embi

By 14 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 14 Nov (Malaysiaaktif) – “Orang Melayu dahulu jadikan kehidupan alam sebagai kehidupan mereka dan belajar dari unsur alam untuk menjadi dewasa tetapi hari ini anak muda lihat alam lain sebagai rujukan dan bukan alam Melayu.”

Demikian kata penerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri 2016, Ab. Rani Embi selepas perasmian Karnival Budaya Melaka 2016 di Perkampungan Hang Tuah di sini pada Sabtu.

Kini berusia 57 tahun, Ab. Rani berkata apa yang dilakukan dalam bidang penulisan dan seni selama ini adalah kerana Allah S.W.T, bagi menjaga dan memperkembangkan budaya Melayu yang semakin hilang ditelan zaman.

“Pada zaman yang serba moden ini, seni budaya dan adat Melayu semakin hilang khususnya dalam kalangan anak muda dan ia amat membimbangkan jika mereka berterusan mengambil budaya luar,” ujarnya.

Lebih 36 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Ab. Rani tidak menyangka akan menerima anugerah itu kerana apa yang telah dilakukannya adalah untuk kembangkan budaya bangsa yang semakin hilang terutama kepada anak muda.

“Penakik pisau raut,

Ambil galah sebatang lintabung,

Seludang dijadikan nyiru,

Setitik dijadikan laut,

Sekepal dijadikan gunung,

Alam terbentang dijadikan guru.

“Fahami sahaja puisi dahulu itu. Jadi, saya berharap agar semua pihak memainkan peranan dalam memelihara seni, budaya dan adat Melayu agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan, Datuk Wira Norpipah Abdol berkata perlaksanaan karnival kali kedua tahun ini banyak memberi impak dalam mengapresiasi seni dan budaya masyarakat Melaka khususnya.

melawat-pameran

Tambahnya, selain banyak memberi impak, penganjuran karnival tersebut turut membantu kerajaan negeri meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung yang datang melawat ke sini.

“Dengan kerjasama semua jabatan dan agensi di negeri Melaka, karnival ini boleh dijadikan acara tahunan yang tercatat dalam kalendar pelancongan negeri,” ujarnya selepas merasmikan karnival tersebut.

Turut hadir,  Exco Komunikasi dan Koperasi, Datuk Latiff Tamby Chik dan Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau Melaka, Datuk Ghazale Muhamad Hadir.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda