Oleh: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
PASIR GUDANG, 4 November (Malaysiaaktif) – Berikutan insiden kebakaran hospital bulan lalu, Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA) telah menganjurkan latihan kecemasan bersepadu skala besar siri ke-16 di sini, semalam.
Menurut Pegawai Daerah Johor Bahru, Halim Hasbullah, objektif latihan ini adalah untuk memastikan keberkesanan manual dan prosedur bagi rujukan masa hadapan seperti Manual PAGEMA ICS, Emergency Response Plan (ERP) dan Port Facility Security (PPSP).
“Latihan kecemasan sebegini sangat berguna kepada semua pihak yang terlibat bagi persediaan kepada sebarang kemungkinan. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara jabatan/agensi yang terlibat,” ujar Halim ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.
Syarikat Dalam Kumpulan Johor Corporation, TLP Terminal Sdn Bhd yang merupakan operator Pelabuhan Tanjung Langsat dipilih menjadi tuan rumah PAGEMA TLP Terminal Drill 2016 yang melibatkan 261 orang peserta dari pelbagai agensi.
Sementara itu, Pengerusi PAGEMA, Hasrin Kamal Hashim berkata PAGEMA kini menjadi contoh kepada kawasan lain daripada aspek prosedur kecemasan.
“Ketika ini, PAGEMA mempunyai 59 ahli dan berharap pada masa akan datang untuk menambah penglibatan lebih banyak syarikat dalam industri di Pasir Gudang yang terdiri daripada lebih 1,500 buah syarikat,” jelas Hasrin.
– AH