Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pusat Kebudayaan Rungus Lengkap IT 2017

By 23 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

MATUNGGONG, 22 Nov (Malaysiaktif) – Pusat Kebudayaan Rungus yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan kos RM1 juta yang dilengkapi kemudahan Teknologi Maklumat (IT) akan siap, tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata kerajaan mengalu-alukan usaha Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia (PMRM) untuk memelihara warisan budaya di samping menjadi pemangkin ekonomi masyarakat setempat.

“Hubungan akrab antara kerajaan dengan pertubuhan ini akan memudahkan kita menyalurkan segala bantuan yang boleh memberi faedah dalam pembangunan warisan kebudayaan.

“Usaha ini bukan sahaja dapat memartabatkan warisan, tetapi juga akan menjadi produk yang dapat menarik pelancong serta menjana pendapatan negara dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Bagi melengkapi kemudahan di pusat itu, beliau turut menyatakan komitmennya untuk membantu mendapatkan dana RM500 ribu untuk pembinaan 10 gerai kraftangan dan RM300 ribu bagi membina pagar di kawasan tapak seluas 2.7 ekar peruntukan Kerajaan Negeri.

Manakala, bagi memastikan masyarakat Rungus tidak tertinggal dalam arus kemajuan teknologi maklumat, Salleh melalui kementeriannya khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Pegawai Daerah akan membuat kajian bagi mewujudkan sebuah Pusat IT dalam bangunan berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau juga menyarankan agar pertubuhan berkenaan mengadakan seminar serta latihan kepada masyarakat Rungus bagi merealisasikan konsep e-perniagaan menerusi program berkaitan seperti e-rezeki dan e-usahawan bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Selain itu, Salleh turut mengingatkan agar kemudahan teknologi itu dimanfaatkan dengan sebaiknya dan bukan untuk menyebar fitnah serta memburukkan kerajaan yang telah banyak membantu rakyat terutama di Sabah.

Katanya, masyarakat tidak perlu terikut-ikut dengan budaya demonstrasi jalanan dengan menyuarakan rasa tidak puas hati pada saluran yang salah.

ybm-5

Sebaliknya, kata beliau, bantahan tersebut perlu diterjemahkan mengikut prinsip demokrasi iaitu melalui pilihan raya akan datang.

Salleh berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PMRM di sini, pada Ahad.

Mengulas tentang mesyuarat itu, beliau memuji pertubuhan tersebut yang bukan sahaja berjaya memelihara kesenian dan kebudayaan, malah menjadi mercu tanda penyatuan masyarakat suku kaum Rungus selaras hasrat kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

-SF

Tinggalkan komen anda