Skip to main content
Home

‘Raja Berangkat’ Dialunkan Di Luar Kebiasaan

By 12 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Foto: Bernama

 

KOTA BHARU, 12 Dis — Buat pertama kali, Pasukan Gendang Besar Istana Kelantan akan memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ di luar kebiasaan iaitu bersempena keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Ketua pasukan Zaiduna Jauhar, 61, berkata pada kebiasaannya, lagu itu hanya dialunkan sekali setahun iaitu ketika sambutan Hari Keputeraan baginda pada 11 Nov.

Menurutnya, muzik tradisional itu selalunya dialunkan ketika baginda berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Balai Besar di sini untuk menyampaikan darjah kebesaran dan pingat bersempena Hari Keputeraan berkenaan.

“Ia turut dimainkan ketika keberangkatan pulang baginda selepas tamat acara itu. Namun kali ini, ia akan pertama kali dimainkan ketika baginda berangkat pergi ke Istana Negara,” katanya kepada Bernama.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua hari ini dan digantikan dengan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa esok untuk tempoh lima tahun.

Zaiduna, yang merupakan generasi ketiga pemain gendang di istana berkenaan, menggantikan arwah bapanya pada 1991 sebagai ketua pasukan.

Beliau berkata lagu itu dikhususkan untuk Sultan Kelantan dan muzik yang dimainkan untuk keberangkatan tiba dan pulang sultan adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.

Ini berikutan instrumen yang digunakan di setiap negeri adalah berbeza, justeru lagu yang dihasilkan juga akan menghasilkan bunyi berlainan.

Zaiduna, bekas pelukis pelan Jabatan Kerja Raya Kelantan, berkata pasukan gendang itu terdiri daripada dua pemain gendang ibu, dua pemain gendang anak, seorang juru serunai, dua pemain rebab dan dua pemain gong.

Mengulas lanjut, beliau berkata latihan muzik bagi keberangkatan Sultan Muhammad V ke Istana Negara dilakukan secara intensif sejak sebulan lalu.

“Saya juga melatih beberapa pemain gendang, rebab dan serunai yang baharu sebagai anggota pelapis kepada pasukan ini,” kata Zaiduna.

Pemilihan pemuzik, katanya, dijalankan dengan ketat dengan menitikberatkan beberapa aspek seperti bakat dan disiplin memandangkan bukan mudah mengalunkan muzik tradisional itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda