Skip to main content
Home

Syed Unan Bertuah, Dua Kali Rasai Meriah Sambutan Agong

By 12 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Foto: Bernama

 

ALOR SETAR, 12 Dis — Bukan sehari dirinya menabur bakti di Istana Anak Bukit, malah usianya sudah melewati waktu bersara yang sepatutnya.

Namun akrabnya Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah dengan tugasan di Istana terutama melibatkan urusan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah membuatkan dirinya terus melekap kejap di kediaman rasmi diraja itu.

Mengimbas kembali kenangan ketika sambutan keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim ke Istana Anak Bukit kira-kira 41 tahun lalu yang lalu, Syed Unan Mashri yang kini berusia 61 tahun, mengakui kemeriahannya tetap sama.

“Waktu Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong Kelima, saya belum lagi bertugas di Istana ini. Tapi saya tetap dapat rasakan kemeriahan dan keterujaan rakyat Kedah menyambut kepulangan Tuanku.

“Apa yang membezakan, mungkin dari aspek umur. Tapi aspek persiapan, orang ramai beratur di jalan raya, dan agenda yang disusun sepanjang menyambut kepulangan Tuanku tidak banyak beza.

“Saya juga percaya, sambutan kali ini mungkin lebih meriah sebab Tuanku telah menjalankan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali,” kata Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah itu kepada Bernama.

Syed Unan Mashri berkata amat payah untuk melihat istiadat seperti itu dan beliau menganggap sesiapa yang dapat menyaksikannya merupakan satu sejarah yang sangat istimewa.

Beliau berkata pada tahun 1975, mungkin tidak ramai dapat datang menyaksikan istiadat yang sama, namun kali ini, dikhabarkan rakyat dari setiap daerah termasuk Langkawi datang beramai-ramai menyaksikan keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim buat kali kedua.

“Secara peribadi, saya rasa sangat bersyukur Tuanku dapat menunaikan tanggungjawab baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua dan kembali semula ke sini sebagai Sultan Kedah,” katanya.

Tinjauan Bernama di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini mendapati orang ramai mula tiba sejak pukul 8 pagi, kebanyakannya datang secara berkumpulan menaiki bas.

Seorang penduduk dari Seberang Kota, Kuala Kedah, Che Embon Abdullah, 57, berkata, dia bersama hampir 30 orang yang lain, tiba di lapangan terbang itu kira-kira pukul 8 pagi walaupun Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dijadual berangkat tiba pada pukul 11 pagi.

“Saya memang rasa teruja untuk turut serta dalam istiadat sambutan hari ini kerana ini merupakan sejarah. Hari ini sememangnya dinanti-nantikan untuk melihat ketua negara kesayangan saya dengan lebih dekat,” katanya.

Che Embon yang turut membawa bersama cucunya, Tiqha Nur Afrina Muhammad, 6, berkata, dia mahu cucunya itu merasai pengalaman bersejarah itu.

“Dia memang teruja dan gembira datang ke sini bersama saya, tambahan pula sekarang musim cuti sekolah, sekurang-kurangnya masa terluang diisi dengan perkara berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi Jamil, 49, dari Pengkalan Kundor dekat sini, berkata, dia bersama rombongan seramai 30 orang, bertolak ke lapangan terbang itu menaiki bas pada pukul 7.30 pagi.

“Memang rasa gembira yang dirasai tidak dapat digambarkan untuk turut sama meraikan hari bersejarah ini.

“Sultan Kedah mencipta sejarah apabila dua kali menjadi Agong,” katanya.

Dalam pada itu, K Amu, 55, dari Sungai Petani, berkata dia bersama rombongan masyarakat India seramai 35 orang bertolak pada pukul 7.30 pagi untuk turut sama menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Saya memang sangat teruja kerana ini pertama kali saya berpeluang menyertai acara sebegini, bersama kaum berbilang bangsa dan agama.

“Ini juga peluang pertama kali untuk saya dapat melihat Seri Paduka berdua dengan lebih dekat,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda