Laporan / foto oleh Asmidar Zainol & Ahmad Zaki Abu Bakar (Sabah)
KOTA KINABALU, 10 Dis (Malaysiaktif) – Kempen ‘End in Sipadan’ bakal menarik lebih ramai penyelam tempatan dan luar negara meneroka destinasi menyelam terbaik di negeri Sabah.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Sabah (MOTAC), Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, kempen tersebut dianjurkan untuk mengalakkan penyelam tempatan dan luar negara meneroka kesemua destinasi selaman yang terdapat di negeri ini dan akhiri pengembaraan selaman di Sipadan, Semporna.
“Sipadan dipilih sebagai destinasi utama dalam kempen ini kerana ia akan membawa penyelam ke ‘dunia yang berbeza’ di dasar laut untuk menikmati keindahan semulajadi dan pengembaraan yang hebat.
“Sediakan alat selam anda dan terokai khazanah marin yang kaya di negeri ini seperti terumbu karang, penyu dan pelbagai spesis marin di Kudat, Lahad Datu dan juga di Pulau Sipadan,” katanya semasa sidang media bersempena kempen berkenaan di Jeti Jeselton di sini.
Menurut Zaki, melalui penyertaan pelbagai pihak, ianya dapat membantu MOTAC dalam memperkenal dan mempromosikan pelancongan selaman kepada masyarakat tempatan dan luar negara.
Program ‘End di Sipadan’ dilaksanakan selaras dengan rancangan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta kesukarelawan kementerian dalam usaha untuk menjenamakan Sabah sebagai destinasi selam terbaik di dunia.
Kempen sama turut dilancarkan di Pahang dengan nama ‘Start in Tioman’ dan melibatkan kawasan-kawasan selam yang sedia ada dan baharu.
Zaki turut berharap kempen berkenaan dapat mengukuhkan imej Sipadan sebagai destinasi selam taraf dunia dan sebagai salah satu daripada 10 Destinasi Selam Terbaik Di Dunia.