Skip to main content
Home

Pokok Tualang 500 Tahun Mercu Tanda Kampung Kuala Wau

By 9 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Foto Hiasan (niezaman)

 

MARAN, 9 Dis — Lawatan ke Kampung Kuala Wau di sini tidak lengkap jika tidak melawat pokok tualang berusia 500 tahun, yang terletak berhampiran tebing Sungai Pahang.

Ketua kampung, Mohd Zurin Mat Jais, 42, berkata pokok tualang atau Koompassia Excelsa itu sudah menjadi mercu tanda kampung ini, yang terletak antara sempadan daerah Pekan dan Maran.

Katanya pokok sebesar 10 pemeluk lelaki itu, selalunya terdapat di hutan hujan tropika, yang boleh disifatkan sebagai satu daripada pokok terpanjang dan tertinggi serta dipercayai antara yang tertua di Pahang.

“Pokok ini menjadi penanda kampung ini sejak bertahun lamanya. Ketika sungai merupakan medium pengangkutan utama, pengendali bot akan mencari pokok ini untuk memastikan mereka sudah tiba di Kuala Wau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Zurin berkata menurut cerita dongeng yang disampaikan sejak turun-temurun, dipercayai pokok itu ada penunggunya, yang menyebabkan orang tua melarang keras anak-anak mereka bermain berhampiran pokok berkenaan.

Penduduk kampung, Ramli Mat Jais, 75, teringat kisah kononnya seorang wanita yang berkulit cerah bertukar menjadi hitam setelah membakar daun kering di bawah pokok itu.

“Saya akan berjalan laju atau lari jika terpaksa melalui pokok itu. Tetapi agak aneh juga bila ingat balik, kami begitu berani memotong akar kayu pokok itu untuk dibuat gasing. Nasib baik tiada apa yang buruk berlaku kepada kami,” katanya berseloroh.

Ramli berkata seperti pokok tualang lain, pokok ini menarik lebah untuk membina sarang di puncak pokok, tetapi mitos berkaitan pokok ini telah menghentikan penduduk kampung daripada mengambil madunya.

Madu tualang adalah madu yang bermutu dan sering kali digunakan dalam perubatan tradisional, sehingga menyebabkan harganya tinggi di pasaran.

Bagaimanapun, Ramli berkata orang luar telah melanggar peraturan kampung itu dengan mengambil madu tersebut, setelah mereka terjumpa tanda paku pada pokok itu yang dipercayai digunakan sebagai tangga untuk ke sarang lebah.

“Kami perasan jejak paku tersebut setahun lalu. Saya percaya ia dilakukan oleh orang luar. Kami rasa mereka buat kerja pada tengah malam atau di siang hari ketika kami semua keluar bekerja.

“Kami tentu akan memaksa mereka berhenti jika ia berlaku di depan mata kami. Kami harap mereka akan berhenti mengambil madu itu sebagai tanda hormat kepada penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Chenor Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, pokok itu seharusnya diwartakan bagi memelihara nilai sejarahnya.

Beliau berkata Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad telah menyuarakan hasrat baginda untuk melihat pokok itu apabila baginda melawat kampung berkenaan kelak.

“Baginda (Tengku Abdullah) sudah dengar cerita mengenai pokok ini. Baginda cadangkan program berkaitan pokok ini dianjurkan. Mungkin kita akan anjurkan pertandingan memanjat,” katanya.

 

— BERNAMA /Oleh Siti Salwa Shaari

Tinggalkan komen anda