Skip to main content
EkonomiHome

Najib Bangga Dengan Hasil Kerjasama Kerajaan Pusat, Johor

By 8 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira dan bangga dengan hasil dasar bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Johor selepas mengadakan lawatan kerja dua hari ke negeri itu.

Beliau berkata sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk daripada kerabat diraja Johor menyaksikan Johor kini berkembang sebagai kuasa ekonomi besar baharu di Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan melihat lebih banyak lagi pembangunan di Johor, yang hasilnya akan dinikmati bukan sahaja oleh rakyat Johor tetapi juga untuk rakyat Malaysia kesemuanya,” kata Najib menerusi catatan terbaharu di laman blog beliau najibrazak.com malam ini.

Najib dalam catatannya turut memberi jaminan bahawa beliau akan melakukan tinjauan dari semasa ke semasa terhadap semua projek-projek mega yang dilaksanakan di Johor bagi memastikan sasaran ditetapkan tercapai.

Antara projek yang dikunjungi dan dilancarkan Najib sepanjang lawatan kerjanya itu adalah Kompleks Bersepadu Pengerang, pembinaan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di perkarangan Stadium Larkin.

Selain itu beliau merasmikan pembukaan Hotel Phoenix di Forest City, Gelang Patah, melancarkan Reka Bentuk Pembangunan Fastrack City di Pinewood Studios serta melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di Iskandar Puteri.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda