Skip to main content
Home

Nama Bagan Datoh Jadi Bagan Datuk Mula 9 Januari Depan

By 29 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

IPOH, 29 Dis — Ejaan baharu bagi Bagan Datoh di Perak iaitu ‘Bagan Datuk’ akan mula diguna semasa pengisytiharan rasmi daerah baharu itu oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 9 Jan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata ia diputuskan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Nov lalu.

“Sehubungan itu, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengguna pakai ejaan baharu tersebut dalam pengurusan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Abdul Puhat, pengisytiharan bersejarah itu akan dilakukan di Dewan Sekolah Menengah Sains dekat Bagan Datoh dengan jangkaan kehadiran kira-kira 15,000 penduduk daerah itu.

Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh, hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan persekutuan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda