Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurWilayah Persekutuan

Pesara TLDM Teruskan Kerjaya Selepas Bersara

By 13 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto: Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 11 Disember (Malaysiaaktif) – Usia tidak menjadi penghalang kepada pesara-pesara Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) untuk mengisi masa lapang dengan mencari rezeki.

Bagi Pegawai Waran 1 (B), Sivam A/L Muniandy, disiplin memainkan peranan yang amat penting walaupun sudah bersara daripada TLDM.

Sivam yang kini menjawat jawatan Pengurus Keselamatan di salah sebuah syarikat keselamatan di Selangor menjelaskan, sebelum bersara pihak TLDM telah menghantarnya untuk mengikuti kursus peralihan keselamatan selama 6 bulan yang dipilih bagi meneruskan kerjaya.

Pegawai Waran 1 (B), Sivam al Muniandy

Pegawai Waran 1 (B), Sivam al Muniandy

Lain pula bagi Pegawai Waran 1 (B), Mohamad Kamaruzaman Mohamed Emran, yang telah memilih kursus penternakan kuda di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang selama 6 bulan sebelum bersara.

Selepas bersara pada awal tahun ini, Kamaruzaman telah mempunyai beberapa ekor kuda di Kampung Permatang Manjung, Perak bagi tujuan penternakan.

Seorang lagi pesara TLDM yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Pegawai Waran II (B), Zuhara Hamdan berkata, dia telah memilih untuk mengikuti kursus bakeri bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di bawah Kementerian Pertahanan sebelum bersara.

Zuhara kini telah berniaga secara kecil-kecilan produk bakeri di kampung halamannya di Kulim, Kedah.

Pegawai Waran II (B), Zuhara Hamdan

Pegawai Waran II (B), Zuhara Hamdan

Dalam pada itu, seramai 119 pesara TLDM telah diraikan dalam Program ‘Fair Winds And Following Seas’ di Kapal DiRaja (KD) Sri Gombak, di sini Jumaat lepas.

Majlis yang dirasmikan oleh Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan pesara TLDM dalam memastikan tahap kesiapsagaan TLDM sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Fair Winds and Following Seas’ ini dipilih kerana ia membawa maksud pelayaran yang ditiup angin dan membelah ombak serta selamat ke destinasi,” jelas Ahmad Kamarulzaman.

“Ia juga ada kena mengena dengan hidup anggota TLDM semasa bertugas dan selepas mereka bersara,” jelas Kamarulzaman.

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin menyampaikan ucapannya.

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin menyampaikan ucapannya.

Kesemua pesara TLDM yang hadir berikan sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Pemilihan Khas Pegawai Graduan ATM 2017 di Maktab Tentera DiRaja (MTD) Kem Perdana Sg Besi pada 24 hingga 27 Disember 2016.

Untuk maklumat lanjut layari www.mafhq.mil.my/JOMMASUKTENTERA .

– AH

Tinggalkan komen anda