Skip to main content
Home

[VIDEO] Maulidur Rasul 2016 Disambut Sederhana

By 12 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 12 Dis — Hujan renyai di beberapa kawasan di seluruh negara tidak menghalang sambutan dan perarakan sempena Maulidur Rasul 1438H yang disambut secara sederhana demi kecintaan kepada Pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW.

Sambutan Maulidur Rasul itu dimeriahkan dengan pakaian warna-warni peserta sambutan yang turut melaungkan kata-kata pujian dan selawat ke atas Junjungan Besar.

Di KUANTAN, kira-kira 1,260 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mewakili ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Di KUALA TERENGGANU, perarakan disertai 2,762 peserta yang mewakili 71 kontinjen untuk tiga kategori iaitu jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun negeri, agensi swasta serta jabatan persekutuan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan kepimpinan kerajaan negeri turut menyertai perarakan itu. Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis yang diadakan di Stadium Negeri.

Di TANJUNG MALIM, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah peringkat negeri di Dewan Seri Tanjung. Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama pada majlis yang disertai kira-kira 2,000 orang adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta isteri Datin Seri Saripah Zulkifli dan anggota exco kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Pendakwah kepada pegawai Pejabat Agama Daerah Ipoh Azmi Chai Abdullah yang membawa pulang wang tunai RM3,000, plak, hadiah iringan dan sijil.

Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Mohd Shafai Salleh yang membawa pulang wang tunai RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil.

Di JOHOR BAHRU, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyertai perarakan dengan diiringi Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama 3,317 peserta yang terdiri daripada 80 kontinjen bermula dari Dewan Jubli Intan.

Ketika bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Bandar Pontian, Tunku Ismail menyeru umat Islam agar mencontohi sifat Nabi Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian unggul dalam menyatukan kekuatan dan persefahaman dalam kalangan ummah.

Baginda bertitah sebarang perpecahan dan perselisihan faham dalam kalangan umat Islam adalah perkara yang dikeji oleh agama kerana boleh melemahkan kedudukan umat berkenaan serta kestabilan negara.

Selain sambutan di peringkat negeri, majlis sambutan Maulidur Rasul turut diadakan di peringkat daerah termasuk Muar dan Batu Pahat.

Di Muar misalnya, perarakan sambutan bermula di Pejabat Daerah Muar dan berakhir di Masjid Sultan Ibrahim diketuai Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim bersama lebih 5,000 peserta daripada 54 kontinjen.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan sambutan itu di Stadium Malawati yang dihadiri kira-kira 3,600 orang.

Turut berkenan hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sambutan dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah SAW bermula dengan perarakan berserta selawat yang disertai 90 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah.

 

– Bernama

Tinggalkan komen anda