Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Khidmat Sosial Buka Mata Pelajar Poli KK

By 4 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 3 Dis (Malaysiaktif) – “Pada awal penyertaan, perasaan terpaksa itu memang wujud, tetapi selepas melaluinya bersama penduduk kampung, tanggungjawab dan semangat ingin membantu timbul”.

Pelajar program Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Kota Kinabalu, Wong Foh Pinn berkata demikian ketika Program Khidmat Sosial Politeknik di Kampung Timbou yang berakhir pada Khamis.

Pelajar Poly KK yang terlibat

Pelajar Poly KK yang terlibat

Tambahnya, dia terus terdorong untuk berusaha sedaya-upaya membantu penduduk Kampung Timbou.

“Program ini ialah cara terbaik bagi pelajar memahami kehidupan penduduk kampung selain dapat bertukar pandangan serta merasai pengalaman baharu bagi memantapkan sahsiah diri,” katanya yang kali pertama terlibat pada program khidmat masyarakat.

Program Poly Prihatin

Program Warga Poly Prihatin, Komuniti Terjamin

Program yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu yang bertemakan ‘Warga Poly Prihatin, Komuniti Terjamin’ melibatkan seramai 60 pelajar dan 80 pensyarah dari pelbagai bidang kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Elektrik, Awam dan Mekanikal berjaya menyemai rasa kasih kepada warganya.

Sementara itu, Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Timbou, Jackylen Doyog Usi berkata usaha murni ini amat dihargai penduduk kampung.

Jelasnya, selain membantu menambah baik kediaman penduduk, aktiviti ini sebenarnya dapat memberi kesedaran belia kampung belajar kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional itu sendiri.

“Program ini membolehkan belia di kampung ini memahami pentingnya mempunyai kemahiran kerana mampu memberi sumbangan dari sudut ekonomi hasil kemahiran yang diperoleh.

 

Kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan

Kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan

Sebanyak 26 buah rumah mendapat nafas baharu hasil usaha 140 peserta program khidmat masyarakat daripada Politeknik Kota Kinabalu ini.

Terdahulu, Pengarah Program Minir Simon berkata, program ini merupakan kolaborasi antara Politeknik Kota Kinabalu, Ahli Parlimen Tuaran, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, dengan penduduk Kampung Timbou.

“Antara aktiviti utama program ialah pendawaian baharu bagi 19 buah rumah dan pembaikan tujuh buah rumah yang terpilih, di samping sesi perkongsian ilmu bersama anak-anak penduduk kampung melalui aktiviti-aktiviti interaktif.

RM22 Ribu turut disumbangkan

RM22 Ribu turut disumbangkan

“Kerja-kerja pendawaian tersebut dilaksanakan pelajar dan pensyarah Kejuruteraan Elektrik dan Meknikal, manakala pembaikan tujuh buah rumah dikendalikan para pelajar dan pensyarah Kejuruteraan Awam, dengan dibantu oleh penduduk Kampung Timbou itu sendiri,” kata Minir.

“Program ini bukan setakat menjurus kepada sumbangan tenaga semata-mata, malah turut menyumbang dari aspek ilmu dan kepakaran semua pihak yang terlibat.

“Selain memberi peluang kepada para pensyarah dan pelajar terlibat untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan penduduk kampung.

“Semua peserta menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi, walaupun daripada program berbeza, dan saya amat berbangga dan menghargainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau turut menyumbangkan RM22 ribu bagi menjayakan program ini.

Beliau turut berkata program kolaborasi (NBOS) seperti ini ialah satu usaha kreatif dan inovatif dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya penduduk Kg. Timbou.

SF

Tinggalkan komen anda