Skip to main content
Home

Jurukamera RTM Cedera Ditembak Dibenarkan Pulang Hari Ini

By 12 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Foto: Bernama

 

GEORGETOWN, 12 Dis  — Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamad Amir, 28, yang cedera ditembak dalam kejadian di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Disember lepas, dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Mohamad Amirul Amin yang ditemani ibunya, Bunisa Mohd Ali, 58, dan kakaknya dibenarkan pulang dari Hospital Pulai Pinang (HPP) pada jam 1.45 tengah hari tadi.

Beliau yang ditemui pemberita mengakui sangat gembira kerana dibenarkan pulang selepas 12 hari menerima rawatan di hospital itu dan masih bersemangat untuk bekerja semula.

“Semangat nak kerja itu memang ada, tapi nak buat macam mana dugaan yang saya terima menyebabkan saya belum boleh kerja lagi…keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Ditanya sama ada doktor ada memaklumkan bila beliau boleh mula bertugas, Mohamad Amirul Amin berkata doktor memberitahu semua itu bergantung kepada keadaan fizikalnya.

Beliau berkata walaupun dibenarkan pulang, beliau masih perlu mendapatkan rawatan susulan di HPP setiap minggu.

Dalam kejadian 7.15 malam 1 Disember lepas, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang, 32, maut manakala lima yang lain termasuk Mohamad Amirul Amin cedera akibat peluru sesat daripada tembakan yang dilepaskan pengawal peribadi Ong.

Mohamad Amirul Amin cedera di bahu kiri apabila ditembak lelaki itu ketika cuba membantu mangsa kerana menyangka ia membabitkan kemalangan jalan raya.

Ketika kejadian beliau dan seorang rakannya yang juga wartawan media cetak, dalam perjalanan ke majlis perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, di sini.

 

– Bernama

Tinggalkan komen anda