Skip to main content
Home

‘Angpau’ Lambang Kebaikan dan Kesejahteraan

By 26 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Gambar utama: ciricara.com

 

 Laporan dan foto oleh: M Zakry Chan

MELAKA, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina sememangnya sinonim dengan pemberian ‘angpau’, namun, di sebalik sampul merah berisi wang itu, ada isi tersirat yang tidak kita ketahui.

Menurut seorang Guru Kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Steven Chan, 37, ‘angpau’ adalah simbol tuah kepada si penerima.

Guru Kaunseling SMK Durian Tunggal, Stevan Chan (berbaju merah).

Guru Kaunseling SMK Durian Tunggal, Stevan Chan (berbaju merah).

“Tuah itu hadir dalam pelbagai bentuk seperti rezeki yang melimpah-ruah, kesihatan yang baik, silaturahim yang berkekalan, kebahagiaan, perlindungan dan sebagainya. Semoga si penerima ‘angpau’ beroleh sejahtera dan ‘ong’ (tuah) pada tahun Ayam ini.

“Pemberian ‘angpau’ juga merupakan satu harapan atau seperti mendoakan yang baik-baik daripada si pemberi kepada si penerima,” jelasnya ketika ditemui selepas program Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat SMK Durian Tunggal, tadi.

Chan Lin Da suri rumahDalam pada itu, Malaysiaaktif menghubungi seorang suri rumah, Chan Lin Da, 46, untuk mendapatkan pandangannya pula tentang ‘angpau’.

Menurut Lin da, ‘angpau’ memberi lambang kesejahteraan dan kegembiraan kepada semua orang sama ada kepada pemberi mahupun penerima.

“Konsep memberi yang diamalkan dalam kebudayaan Cina membawa pengertian diberi rahmat oleh Tuhan dan bertambah rezeki sepanjang masa manakala penerima akan bergembira dengan ‘angpau’ yang diterima, sudah pasti menambah aura kegembiraan dalam keluarga dan organisasi,” jelasnya.

Katanya, ‘angpau’ bukan sahaja diberi ketika perayaan Tahun Baharu Cina malah juga dalam majlis perkahwinan, kelahiran, kesyukuran, pindah rumah baharu dan memulakan perniagaan.

Tambahnya, memberi dan menerima membawa keberkatan dalam masyarakat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina malah kaum-kaum lain juga turut mengamalkan konsep yang sama ketika menyamput perayaan.

“Nilai ‘angpau’ tidak menjadi keutamaan dalam sambutan Tahun Baharu Cina. Terpulang mengikut kemampuan masing-masing, yang penting, konsep memberi dan menerima dengan seikhlas hati yang menjadi keutamaan. Maksud bertuah itu ialah ‘Red Packet’, bukan isi dalamnya, “ tegasnya.

1Malaysia guru-guru di Sambutan TBC SMK Durian Tunggal

1Malaysia: Guru-guru SMK Durian Tunggal berbaju merah sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.

 

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda