Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kg Tilis Lokasi Pertama Menghubung dan Menyatu 2017

By 18 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh: Zuraidah Ahmad / Foto: Mastim Kiriman (Sabah)

KEMABONG, 18 Jan (Malaysiaktif) – Misi untuk memastikan masalah komunikasi penduduk pedalaman melalui sasaran 95 peratus kawasan pedalaman di negeri ini dapat ditembusi jalur lebar menjelang 2020 bermula apabila Kampung Tilis, dipilih sebagai lokasi pertama Program Menghubung dan Menyatu 2017.

Menurut Guru Sekolah Kebangsaan Pekan Tenom, Ekou Muli, kehadiran rombongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Sabtu di Dewan Ontoros Kemabong bagi pelaksanaan program berkenaan pada 19 dan 21 Januari ini memberi kegembiraan kepada para penduduk di kampung terbabit.

Ekou ketika memberikan cadangan

Ekou ketika memberikan cadangan

“Walaupun kunjungan ini sekadar berbincang dengan penduduk kampung terhadap keperluan pengisian program itu nanti, namun penduduk kampung terasa keseronokannya.

“Warga kampung wajar merebut peluang menonjolkan kesenian dan kebudayaan  suku kaum Murut yang terdapat di kampung ini selain mendengar ceramah berkaitan pendidikan atau kepenggunaan sebagai meluaskan pengetahuan penduduk,” katanya.

Seramai 500 penduduk etnik Murut mendiami kampung terbabit yang turut memiliki kemudahan asas seperti bekalan elektrik, sebuah sekolah Kluster Kecemerlangan SK Tilis, rumah kebudayaan, gereja dan dewan.

Sementara itu, Pegawai Pentadbir Asrama, Frenky Muli mengesyorkan acara sukan yang melibatkan belia perlu diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk dan agensi terbabit.

“Pertemuan ini wajar lebih lama dan selama 24 jam berada di kampung ini kepelbagaian aktiviti bersama belia harus diadakan agar pertemuan ini lebih dekat sebagai pembimbing kecemerlangan minda belia itu sendiri.” ujarnya lagi.

Manakala mewakili kaum ibu, Ahida Tikau, 43, berharap kalangan ibu di perkampungan terbabit turut didedahkan dengan ceramah ekonomi bagi meningkatkan hasil jualan yang dihasilkan seperti produk kraftangan.

 Ahida yang mewakili suara kaum ibu.

Ahida yang mewakili suara kaum ibu.

Pendapatan penduduk banyak bergantung kepada tanaman getah, hasil padi huma, buah-buahan serta kraftangan.

Para penduduk yang ditemui mengakui hanya keluar ke pekan Tenom sekali dua sahaja dalam sebulan hanya apabila ingin membeli keperluan harian makanan, pakaian dan sebagainya.

Tambah penduduk lagi, bagi urusan lain mereka akan menaiki kenderaan sewa milik penduduk kampung dengan kos tambang RM20 seorang bagi perjalanan pergi dan balik. Ada juga antara mereka yang menumpang kenderaan peribadi guru-guru untuk ke pekan.

“Walaupun jarak kampung sejauh tujuh kilometer tetapi hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan jalan akan bertambah teruk pada musim hujan dan apabila berlaku laluan runtuh, penduduk kampung bergotong-royong membaiki dengan kudrat yang ada,” ujarnya.

Yunus (tujuh dari kanan), Zulkarnain (lima dari kanan), Hendry (Tiga dari kiri), Mazlan (enam dari kiri) dan Ampalang (lapan dari kiri) bersama sebahagian penduduk kampung Tilis.

Yunus (tengah) bersama sebahagian penduduk kampung Tilis.

Perbincangan tersebut turut menerima permintaan para penduduk agar dapat membina menara telekomunikasi disebabkan wujud keperluan apabila berlaku kecemasan oleh sebab ketika ini ada penduduk yang bergantung kepada capaian wifi sekolah dan terpaksa mendaki ke kawasan tinggi jika ingin membuat panggilan.

Dalam pada itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) wilayah Sabah dan Labuan, Mazlan Othman berkata perkara tersebut akan dibawa ke pengetahuan Yang Berhormat Menteri dan Ahli Parlimen kawasan terbabit.

“Kampung Tilis dilihat memiliki fasiliti seperti jalan dan bekalan elektrik hanya memerlukan tapak sesuai untuk menempatkan menara terbabit,” tambahnya.

-SF

Tinggalkan komen anda