Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Tidak Ada Kuota Import Bagi Limau Mandarin Sempena Tahun Baharu Cina

By 17 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan oleh : Norieza Abd  Ghafar / Foto oleh : Badarudin Shuib

 

KLANG, 17 Jan (Malaysiaaktif) – “Kerajaan tidak mengenakan kuota untuk pengimportan limau mandarin. Ini bermakna, bekalan buah tersebut dalam pasaran tempatan bergantung kepada daya pasaran atau ‘market forces’.”

Demikian ditegaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena lawatan kerja ke kawasan pemeriksaan kontena Pelabuhan Klang Utara bagi meninjau pemeriksaan limau mandarin import sempena Tahun Baharu Cina.

“Pertamanya saya ingin memaklumkan bahawa kita tidak menanam spesis limau mandarin atau citrus reticulata ini di dalam negara. Semuanya kita import.

Pic 1

Menteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat lawatan kerja kerja ke kawasan pemeriksaan kontena Pelabuhan Klang.

“Namun,  tidak seperti sesetengah produk,  Pengimport akan membawa masuk limau mengikut keperluan atau pemintaan. Jika permintaan tinggi, jumlah import boleh ditambah, ataupun sebaliknya,” ujar beliau dalam sidang media hari ini

Dari segi perbandingan harga, tinjauan FAMA mendapati harga borong sekotak limau mandarin di Kuala Lumpur adalah antara RM9 hingga RM21, mengikut saiz (XL, L, M dan S). Harga runcit pula adalah antara RM15.50 hingga RM25 mengikut saiz.

Menurut pemborong yang ditemui, secara purata harga limau naik RM1.00 hingga RM1.50 sekotak jika dibandingkan dengan harga pada tahun 2016. Menurut mereka kenaikan ini berpunca daripada penyusutan mata wang Ringgit.

Pemborong turut menjangkakan pada minggu hadapan, harga limau mandarin akan meningkat sebanyak RM2/kotak. Ini kerana bekalan sedia ada telah berkurangan dan stok baharu akan sampai minggu hadapan.

Menurut Ahmad Shabery lagi, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, MAQIS memainkan peranan besar untuk memastikan semua limau yang dibawa masuk ini memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan yang ditetapkan. Ini adalah bagi memastikan ianya selamat untuk dimakan, serta tidak mengancam industri pertanian dan buah-buahan tempatan.

“Seperti yang saya sebut tadi,  Jabatan Pertanian dan MAQIS sentiasa memastikan negara pengeksport memenuhi segala syarat keselamatan dan kualiti yang ditetapkan sebelum produk dibawa masuk.

Seperti yang dijangka, kita dapat lihat jumlah import meningkat setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina. Pada musim perayan dua tahun lalu, iaitu 2015, sejumlah hampir 50 ribu tan metrik diimport dalam tempoh Disember hingga Februari. Pada musim perayaan 2016, jumlahnya adalah 42 ribu tan metrik dan untuk musim perayaan kali ini, setakat ini 35 ribu tan metrik telah diimport.” jelas beliau.

-MSM

Tinggalkan komen anda