Skip to main content
HomeSabah

Isu Penjawat Awam-Letak Jawatan Jika Tidak Produktif

By 23 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj.Bulka (Sabah)

TAWAU, 23 Feb (Malaysiaktif) – Isu terhadap penjawat awam yang hangat diperkatakan ketika ini turut mendapat reaksi masyarakat yang melihat perkara ini ada kebenarannya dan tidak kurang juga yang meluahkan rasa tidak setuju.

Cadangan mengecilkan jumlah penjawat awam bagi mengurangkan kos operasi kerajaan oleh Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim turut mendapat respons masyarakat dan kakitangan awam.

Menurut pengusaha kedai makan, Abit Sulaiman, 60, cadangan mengecilkan jumlah penjawat awam adalah tepat kerana jumlah penjawat yang kecil lebih baik berbanding jumlah yang ramai tetapi tidak memberi hasil yang baik dan birokrasi.

IMG_1236

Abit Sulaiman.

“Pengurangan penjawat awam perlu terutama yang gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan dan kakitangan yang merasa tidak seronok bekerja atau yang mengabaikan tugas seharusnya meletak jawatan daripada merosakkan imej perkhidmatan awam itu sendiri.

Tambahnya, setiap kakitangan awam yang diterima bertugas telah dijelaskan tentang peraturan-peraturan kerja dan tanggungjawab terhadap tugas untuk membantu rakyat.

“Tetapi apabila telah bekerja dalam tempoh tertentu perubahan sikap mula berlaku dan lupa pada tanggungjawab yang akhirnya menunjukkan imej negatif kepada penjawat awam itu sendiri.

“Ketika ini terdapat ramai anak muda lepasan pengajian tinggi mengharapkan peluang berkhidmat dalam sektor terbabit yang seharusnya diberi peluang berkhidmat.

“Jika diamati di daerah ini sahaja terlalu ramai anak muda terpaksa bersaing sesama sendiri hanya untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan awam tetapi tiada peluang sama ada kekurangan dari segi pengalaman mahupun akademik, tetapi boleh bekerja dengan baik.

“Kakitangan yang jelas menunjukkan prestasi tidak baik walau dihantar berkursus meningkatkan mutu kerja hasil tetap sama dan membazirkan sahaja.

“Begitu juga dengan tempoh berkhidmat selamat 60 tahun kerana ada kalanya usia sebegini tidak lagi produktif dan sewajarnya diberhentikan,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Bangunan Wisma Persekutuan pada Rabu.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Kota Kinabalu, Nurazreen Munira Abdullah, 24, menyatakan rancangan untuk memohon pekerjaan dalam sektor swasta berbanding awam.

IMG_1237

Nurazreen Munira Abdullah.

“Ketika ini saya masih tidak terfikir untuk memohon dalam sektor perkhidmatan awam kerana masih belum bersedia untuk menyahut cabaran bekerja dalam sektor terbabit.

“Saya sering terdedah dengan perbezaan kerja dalam sektor swasta dan awam. Apa yang saya dapat lihat sektor swasta lebih mencabar dan memerlukan ketepatan masa yang tinggi kerana masa itu bernilai. Kegagalan menepati masa mampu mengurangkan hasil pendapatan,” ujarnya.

Nurazreen berpendapat kenyataan yang dikeluarkan oleh Sheriff itu perlu dilihat lebih meluas dan wajar difahami penjawat awam agar terus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Berbeza dengan keluhan seorang penjawat awam Mohd Anif, 40, yang menyatakan ketika ini setiap penjawat awam melakukan pelbagai tugas dalam memenuhi sasaran yang ditetapkan. Walaupun tertekan tetapi setiap tugasan tersebut perlu dilaksanakan dengan baik dan berkualiti.

“Masyarakat sebenarnya tidak memahami tekanan bekerja dalam sektor awam kerana masyarakat sering beranggapan berkhidmat disektor ini boleh cepat kaya dan tanggapan ini salah.

“Kadangkala masyarakat marah atas beberapa perkara kerana kurangnya pemahaman terhadap sebab sesuatu keputusan itu terpaksa dibuat dan hari ini isu penjawat awam dipertikaikan tetapi pencapaian cemerlang yang dihasil pada tahun lalu tidak pula diperkatakan.

“Diharapkan tiada lagi mana-mana pihak mempersoalkan pengorbanan kakitangan awam yang banyak berkorban masa bersama keluarga yang sanggup bertugas berjauhan demi memastikan setiap perancangan pembangunan terlaksana,” jelasnya.

Situasi ini turut dijelaskan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang berkata sejumlah 1.6 juta penjawat awam kini sudah memadai memandangkan golongan itu dilatih untuk bertugas secara ‘multitasking’ (mampu melakukan pelbagai tugasan) termasuk ke arah menghapuskan jawatan yang tidak relevan sesuai dengan perubahan semasa.

“Kita tidak kurangkan perjawatan awam, mungkin ada jawatan dahulu hilang peranannya namun diganti dengan tugasan baharu mengikut keperluan semasa,” tegasnya.

Ali turut mengingatkan penjawat awam agar terus meningkatkan prestasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan 2017 sebagai tahun penyampaian perkhidmatan.

SF

Tinggalkan komen anda