Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Perarakan Chingay Kuil Kuno Johor Warisan Kebangsaan Malaysia

By 20 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Suhairi Ishak / Foto: Tan Wee Lee (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Kota raya Johor Bahru telah dibanjiri dengan orang ramai untuk menyaksikan Festival Perarakan Chingay Kuil Kuno Johor, di sini semalam.

Upacara yang berasal daripada tradisi perarakan keagamaan tahunan untuk memohon para dewa memberkati bandar dengan keamanan dan keselamatan ini dirayakan pada hari ke 20 hingga ke hari 22 selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Walaupun telah memasuki era moden dan canggih, namun warisan yang telah dirai selama lebih 140 tahun sejak tahun 1870 ini masih terus dikekalkan di Malaysia.

Menurut Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baru, Tey Kim Chai, Kuil Kuno membuktikan semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

“Kuil Kuno Johor melambangkan kerjasama antara lima kumpulan utama Tiong Hua iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Tee Siew Kiong berkata, festival ini dapat menarik perhatian pelancong antara bangsa seperti Singapura, Taiwan dan China.

Katanya, dianggarkan 300,000 ke 500,000 penonton menyertai perarakan Chingay Johor yang merupakan festival tahunan yang terbesar di Johor Bahru.

“Festival Perarakan Chingay ini agak bermakna dan mustahak dari segi keaslian budaya, ia adalah sangat terpelihara di negara ini dan tidak dapat ditandingi negara lain di Asia Tenggara, mahupun oleh negara China sendiri yang kehilangan banyak warisan melalui revolusi budaya,” katanya lagi.

Upacara Chingay (2)

Seorang kakitangan awam yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Tan Wee Lee, meskipun terpaksa berbaris sepanjang 10 km di laluan perarakan bersama puluhan ribu yang lain, dia berasa sangat berpuas hati kerana dapat meraikan buat tahun ke dua berturut turut.

Dalam pada itu, keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi merasmikan Perarakan Chingay 2017 telah disambut meriah oleh ribuan orang ramai yang menghadiri festival ini.

– AH

Tinggalkan komen anda