Skip to main content
Berita TempatanSabah

TN50-Kopi-Kopi Ikonik Muda Cetus Inspirasi Belia

By 2 Mac 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Adelaidah Arshad (Sabah)

LAHAD DATU, 2 Mac (Malaysiaktif) –Pembentukan minda belia melalui penjenamaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dilihat secara meluas ke arah melahirkan anak bangsa berwibawa dan berminda cemerlang untuk tempoh tiga dekad akan datang.

Gerakan sebaran dan temu bual perbincangan terhadap hala tuju, matlamat dan tindakan yang menjurus kepada penglibatan belia melalui Kementerian Belia dan Sukan wajar berterusan agar mencapai matlamat rakyat berminda kelas antarabangsa.

Penganjuran Wacana Nasional Kopi-Kopi Ikonik Muda di daerah ini umpamanya dilihat berjaya menjadi suatu cetusan pemikiran ke arah minda belia terhebat bagi merealisasikan pencapaian TN50 tersebut.

IMG_1348

Nasrun memulakan perbualan perkongsian minda bersama para belia yang menyertai program tersebut.

Bagi Ikonik, Usahawan Belia Tempatan, Ridzwan Sawah, penganjuran kopi-kopi ikonik muda ini benar-benar memberi suatu perkongsian pengalaman berharga kepada golongan belia di daerah ini dan sewajarnya program ini diadakan lebih kerap dan meluas sebagai suatu motivasi kepada belia di daerah ini.

“Terima kasih penganjur atas pelaksanaan wacana ini tepat untuk mencetuskan semangat belia ke arah yang lebih bermakna melalui perkongsian pengalaman kerana belia hari ini merupakan golongan berisiko tinggi terhadap pengaruh negatif dan gagal bangkit untuk hidup lebih sempurna.

“Belia hari ini lupa faktor penting untuk berjaya ialah restu ibu bapa, ceburi apa-apa bidang sekali pun tanpa sokongan dan restu ibu bapa sukar memperoleh kejayaan.

Katanya lagi, belia hari ini terlalu ghairah berniaga, memperoleh segulung diploma atau ijazah dalam jurusan perniagaan bukan tiket untuk berjaya tanpa pengalaman dan pengetahuan perniagaan di dunia sebenar perniagaan hari ini.

para peserta Kopi-Kopi Ikonik Muda daerah Lahad Datu 2017.

Para peserta Kopi-Kopi Ikonik Muda daerah Lahad Datu 2017.

“Kebanyakan belia yang berkecimpung dalam dunia perniagaan hari ini gagal mengurus kewangan dengan baik, berniaga tidak perlu besar tetapi konsisten pasti mampu mengecap kejayaan tanpa perlu bantuan kerajaan.” katanya semasa berkongsi pengalaman pada wacana kopi-kopi ikonik muda di daerah berkenaan pada Selasa.

Seperti ungkapan kata ucapan Presiden Pertama Republik Indonesia, Ir.Soekarno tentang ikonik belia “Berikan aku 10 Pemuda, pasti akan ku goncangkan dunia ini” benar-benar memberi inspirasi dan membakar jiwa penduduk Indonesia pada masa itu hingga ke hari ini.

Program julung kali anjuran Parlimen Silam tersebut berjaya menarik seramai 300 belia hadir berkongsi perbicaraan minda mencetus ilham pemikiran semasa membentuk suatu ideologi dan pendekatan terbaharu dalam usaha mendekati golongan terbabit.

Para ikonik belia

Para ikonik belia

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata inisiatif pelaksanaan kopi-kopi ikonik ini sebagai platform belia mendekati kerajaan.

“Memahami setiap dasar dan pelan pembangunan yang dirancang kerajaan selain turut memberi respon kepada apa-apa keinginan belia hari ini dan cadangan serta perancangan yang sesuai untuk kerajaan laksanakan.

Jelasnya, kerajaan telah mewujudkan suatu perancangan jangka panjang kepada pengwujudan belia cemerlang, meningkatkan pemikiran masyarakat akan datang setanding negara membangun dengan mengambil pendekatan melaksanakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menyasarkan golongan belia.

“Belia hari ini perlu terus dipimpin, dibentuk dan disirami dengan nilai-nilai kenegaraan tinggi agar mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang gemilang demi negara tercinta.

“Justeru melalui pelaksanaan peringkat akar umbi sebeginilah sewajarnya kita terapkan agar belia faham dan menyokong setiap pembangunan yang dilaksanakan.

Di program tersebut, Datuk Datu Nasrun turut berkongsi maklumat dan perbincangan tentang isu semasa termasuk penjelasan peranan dan kejayaan pelaksanaan Rancangan Felda yang banyak memberi manfaat kepada negara terutama rakyat di dalam gugusan felda itu sendiri.

Selain itu, kehadiran seramai lima tokoh ikonik tempatan daerah berkenaan seperti Ahli Parlimen Belia Malaysia, Masriana Kaha, Pesilat Kebangsaan, Emy Latip, Usahawan Perniagaan Jagoh Sport, Ridwan Sawah, Pengurus Bank termuda, Anuar Ibrahim Isah dan pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Ibnu Kassim.

Kehadiran ikon belia tersebut turut berjaya mencuri perhatian belia dalam setiap perkongsian pengalaman yang akhirnya berjaya mencetuskan inspirasi kepada peserta yang hadir pada program tersebut.

SF

Tinggalkan komen anda