Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Kesetiaan Prinsip Asas Penjawat Awam

By 21 April 2017April 25th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh: M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 21 April (Malaysiaaktif) – “Sejarah keruntuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah membuktikan bahawa betapa pentingnya nilai kesetiaan dalam kalangan penjawat awam.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Melaka di  Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pagi tadi.

“Prinsip kesetiaan telah diterap ketika mengangkat sumpah sebagai penjawat awam dengan mendokong kerajaan yang dipilih oleh rakyat, maka kita wajib menjaga kesetiaan tersebut,” ujarnya.

Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Melaka di MITC, pagi tadi.

Pada waktu yang sama, Najib turut mengulas tentang insiden tragedi hitam Lahat Datu pada tahun 2013 yang lalu terjadi akibat pembocoran maklumat kepada penganas oleh seorang penjawat awam yang menyebabkan lapan anggota polis terbunuh.

Menurut seorang penjawat awam yang bertugas di Majlis Pebandaran Hang Tuah Jaya, Shafarin Mohamad, 45, penjawat awam seharusnya memahami prinsip kesetiaan kepada tanggungjawab yang telah diberi.

“Kini, didapati terlalu banyak kes penjawat awam yang mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya terhadap pemimpin kerajaan terutama dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Shafarin Mohamad

Shafarin Mohamad.

“Ini bukan sahaja mencemarkan imej pemimpin negara malah menjejaskan ekonomi kerana fitnah-fitnah yang dilontarkan akan ditularkan ke serata dunia dan impaknya ialah pelabur-pelabur akan merasa sangsi kepada negara kita,” katanya ketika ditemu bual.

Selain itu, seorang lagi penjawat awam, Tajudin Osman, 56, berpendapat penjawat awam wajib setia kepada kerajaan yang memerintah selaras dengan ajaran agama.

“Berdasarkan kepada i’tiqad (kepercayaan) Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah menjadi satu tuntutan mentaati dan menghormati pemerintah. Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan. Menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka.

Tajudin Osman

Tajudin Osman.

“Kita sebagai penjawat awam harus melaksanakan kebaikan bersama mereka, membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i, serta tidak berusaha untuk menjatuh, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan dan tidak menghina atau mencela mereka,” jelasnya.

Lebih 10,000 penjawat awam hadir di perhimpunan penjawat awam pagi ini mendengar amanat daripada Perdana Menteri yang membuat lawatan kerja ke Melaka hari ini.

Perdana Menteri

Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) disambut meriah oleh penjawat awam Negeri Melaka.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda