Skip to main content
HomeSabah

Mendaki Bukan Hobi Mahal Walaupun Ekstrem

By 23 Mei 2017Tiada komen4 minit bacaan
Khalil ketika menyertai Everest Base Camp.

 

Laporan oleh Fauzrina Bulka / Foto: Khalil K , Hamadah & FGHT Group (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 23 Mei (Malaysiaktif) – Mendaki boleh dianggap sebagai aktiviti yang ekstrem kerana memerlukan stamina fizikal dan mental yang kuat, namun faktor tersebut bukanlah penghalang kepada penggemarnya.

Dek kepopularan aktiviti berkenaan, beberapa tahun belakangan ini, mendaki dikatakan telah menjadi trend wajib bagi setiap orang untuk mengisi masa lapang yang ada.

Ada yang menganggap bahawa mendaki ialah satu hobi yang mahal kerana kelengkapan keperluan seperti pakaian, beg, serta kasut yang sesuai untuk mendaki agak mahal harganya.

17ba1d44-6fac-4434-88b5-2ce7035f9419

Hamadah (Empat dari kiri) bersama rakan-rakan ketika aktiviti mendaki di Nopungguk Lituk Trail.

Namun bagi seorang pendaki berpengalaman, Abdul Khalil Khalid yang telah lebih 20 tahun mendaki kebanyakan bukit dan gunung yang ada di Malaysia tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

“Mendaki hanya akan menjadi hobi yang mahal jika kita ke luar negara, tapi jika kita hanya mendaki bukit dan gunung di dalam negara saja, tidak perlu mengenakan pakaian atau kasut yang mahal, yang biasa-biasa saja pun boleh,” ujarnya.

Menurutnya, pendaki yang tegar sememangnya membeli barangan yang mahal kerana kualitinya dan kekerapan penggunaan namun pada yang baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan ini, persediaan dari segi fizikal dan mental lebih perlu diutamakan.

909fb5a0-f202-4659-aa7f-f109493f43f9

Hamadah bersama rakan-rakan merasa puas apabila berjaya sampai ke puncak pendakian.

Tambah Khalil, penggunaan beg atau haversack yang berkualiti adalah untuk mengelakkan tali beg terputus semasa pendakian dan pakaian yang serap peluh juga menjadi pilihan pendaki di samping kasut dan lampu kepala yang elok untuk kegunaan ketika cahaya gelap.

Khalil yang berasal dari Pulau Pinang mula memanjat Bukit Bendera ketika berusia 10 tahun, dan mula berminat memanjat gunung apabila berpindah ke Ipoh yang dikelilingi gunung-gunung.

“Saya telah naik semua G7 (lebih 7,000 kaki) yang terdapat di semenanjung seperti Gunung Tahan, Korbu, Gayung, Yong Belar, Yong Yap, Chamah dan Ulu Sepat dan telah menghabiskan G12 (12,000 kaki) termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Tambuyukon, Gumung Trusmadi dan Gunung Murud,” jelasnya.

“Setelah saya berpindah tugas di Sabah, saya berpeluang mendaki Gunung Kinabalu beberapa kali, mencuba cabaran Via Ferrata dan tidur di Gurkha Hut di puncak sebanyak tiga kali,”ujarnya yang juga merupakan seorang pensyarah.

Apa yang membanggakan, Khalil dan 19 orang rakan daripada Backpackers Malaysia juga pernah menyertai Everest Base Camp dan merupakan antara yang mencabar kerana perlu mengelakkan Acute Mountain Sickness (AMS) yang disebabkan kekurangan oksigen sebanyak 50 peratus.

Khalil turut berharap agar pendaki sentiasa mengekalkan kebersihan di bukit dan gunung, kekalkan kesihatan yang baik dan menggalakkan agar lebih ramai yang jadikan mendaki sebagai hobi.

Sementara itu, Malaysiaaktif turut berkesempatan menemu bual Pengerusi Focus Group Hiking Trail (FGHT), Ezra Sadok yang berperanan besar membawa pendaki-pendaki untuk merasai pengalaman mendaki di Nopungguk Lituk Trail, Kampung Sayap, Kota Belud.

“Memandangkan Mei merupakan Bulan Melawat Kadamaian yang telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada awal bulan lepas, kami lebih progresif membantu pendaki dan pelancong dalam usaha memperkenalkan Kampung Sayap sebagai pusat pelancongan dan pendidikan,” katanya.

Tambahnya, yang lebih penting ialah agar Kampung Sayap menjadi tumpuan luar seterusnya pendapatan yang diperoleh dapat menambah baik infrastruktur di sana.

“Saya gembira apabila mendaki semakin menjadi trend masyarakat sekarang, walhal sebenarnya masyarakat kita sebelum ini sememangnya seorang pendaki. Mereka mendaki untuk hidup kerana perlu membuka ladang untuk menanam padi sebagai sumber makanan.

“Pelbgai Institusi Pengajian Tinggi turut datang untuk membuat lawatan sambil mendaki seperti pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia,” kata Ezra.

ff9a7117-bed8-4120-ad6a-ae57eae37946

Hamadah bersama rakan-rakan menghadapi cabaran semasa mendaki bukit di Nopungguk Lituk Trail.

Dalam pada itu, pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan UMS, Hamadah Zaharuddin, 35 berkata tujuan para pelajar membuat Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Kampung Sayap adalah untuk membantu FGHT dalam konteks memberi input-input dari segi pentadbiran perniagaan.

“Kami juga ingin mempelajari konsep EduTourism melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di samping sebagai platform untuk menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar dalam mendaki gunung,” jelas Hamadah yang telah dua kali terlibat dalam lawatan ke Kampung Sayap.

Tambahnya, mendaki merupakan satu aktiviti yang komprehensif dan lengkap yang merangkumi pelbagai aspek ketahanan fizikal badan baik dari segi pernafasan, stamina, kekuatan otot serta teknik yang sesuai.

“Semasa CSR di Nopungguk Lituk Trail, semua 20 orang pendaki UMS berjaya membuat pendakian dan kembali ke tapak mula dalam tempoh masa empat jam ke puncak dan lima jam kembali ke tapak, di sini ketahanan fizikal sangat penting,” katanya.

Hamadah turut berharap agar aktiviti sebegini diperbanyak lagi dengan penglibatan semua golongan terutama remaja dan belia agar mereka mendapat banyak faedah terutama dari aspek fizikal serta dari segi pengetahuan yang merangkumi aspek tumbuh-tumbuhan di hutan.

“Tidak lupa juga peranan pihak kerajaan agar dapat memberikan bantuan dari segi kewangan untuk menambah baik lagi keadaan dan ciri-ciri keselamatan lokasi pendakian,”katanya.

“Ciri-ciri keselamatan yang dimaksudkan ialah penyediaan tali pendakian di cerun-cerun kawasan pendakian, mengadakan tanda arah untuk setiap perhentian serta pagar di kawasan cerun atau laluan trail,” katanya.

 

-SF

 

Tinggalkan komen anda