
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Semangat patriotisme dalam kalangan para remaja kini yang dilihat semakin luntur menggerakkan Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan untuk menganjurkan Kem Aspirasi Negaraku Kelab 1Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, Kem Aspirasi Kelab 1Malaysia ini mampu dijadikan platform untuk mengasah para pelajar tentang jati diri, nilai-nilai kepimpinan serta berakhlak tinggi agar mereka menjadi insan yang berguna satu hari nanti.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin berucap merasmikan Kem Aspirasi Negaraku Kelab 1Malaysia
Raisin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kem Aspirasi Negaraku Kelab 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2017 di Pusat Kokurikulum Gangarak, di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan.
Dalam pada itu, seorang fasilitator kem tersebut, Sawiyah Tawile, 45, berkata penekanan aspek patriotisme di dalam modul-modul serta aktiviti-aktiviti kem ini mampu memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan para remaja zaman sekarang.

Fasilitator Kem Aspirasi Negaraku Kelab 1Malaysia merangkap guru di SMK Pantai Labuan, Sawiyah Tawile
Bagi salah seorang peserta dari SMK Labuan, Mohd Azman Isack, 15, selain penerapan elemen jati diri dan patriotisme, elemen perpaduan juga turut disemai bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim antara para peserta.
“Saya gembira kerana dapat mengenali rakan-rakan baharu dari sekolah-sekolah lain yang sebelum ini tidak pernah bersua.
“Melalui program ini, kami bercampur gaul tanpa mengira bangsa dan latar belakang bagi setiap aktiviti yang dilakukan,” katanya penuh semangat.

Peserta Kem Aspirasi Negaraku Kelab 1Malaysia, Florensia Cindy Cradius (kiri) dan Mohd Azman Isaac (kanan).
“Di samping menerima ilmu-ilmu yang berguna, kami juga mempelajari adat dan budaya masyarakat pelbagai kaum menerusi aktiviti persembahan kebudayaan pada kem tersebut.
“Ini membawa pengertian keharmonian kaum dan toleransi yang lebih erat lagi oleh masyrakat pelbagai kaum di Labuan,” tambah Florensia lagi.
-DZ