Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Lebih RM300,000 Bantuan Ramadan Disalur

By 31 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Laju sahaja ungkapan ‘syukur alhamdulillah’ diluahkan oleh seorang warga emas, Habibah Mohamad Yusof, 60, ketika menerima sumbangan bantuan Ramadan Parlimen Bukit Katil bertempat di Masjid Nur As-Saadah, Kampung Pengkalan Batu, semalam.

“Saya amat bersyukur atas sumbangan yang telah diberikan, bantuan ini sudah tentu dapat meringankan beban saya dalam menjalani ibadah puasa. Banyak sumbangan yang diberi selain hari ini, antaranya Ziarah Kasih dan Kejut Sahur.

Habibah mohamad yusof

Habibah Mohamad Yusof

“Selain itu, saya juga menerima pencen suami sebanyak RM920 sebulan, terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin kepada masyarakat kurang berkemampuan, hanya Allah sahaja dapat membalasnya,” ujarnya.

Manakala, seorang lagi penerima bantuan, Rosnah Baba, 58, berasal dari Kampung Bachang melahirkan perasaan terharu dengan bantuan ini.

Rosnah Baba

Rosnah Baba

“Pelbagai bantuan diterima bukan sahaja pada bulan Ramadan malah sepanjang tahun seperti bantuan bulanan kebajikan yang saya terima sebanyak RM200, Ziarah Kasih dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bachang, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Syafarin Mohamed, 44, berkata program Penyampaian Sumbangan Ramadan ini diadakan pada setiap tahun dan meliputi seluruh enam parlimen yang terdapat dalam Negeri Melaka.

Syafarin Mohamed

Syafarin Mohamed

“Sumbangan berupa wang tunai RM100 dan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan tepung diharap dapat membantu menguruskan keperluan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron untuk sumbangan tahun ini, kerajaan meningkatkan nilai dan kualiti penyampaian sumbangan.

Ketua Menteri

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (tengah)

“Jika sebelum ini hanya golongan asnaf, fakir miskin sahaja namun tahun ini ditambah kepada ibu tunggal, mualaf dan anak-anak keluarga fakir miskin itu sendiri dengan sebanyak RM316,000 diperuntukkan kepada 3,160 orang penerima.

“Hasil daripada kemakmuran ekonomi negeri yang telah diterjemahkan dalam bentuk kutipan zakat yang meningkat dari tahun ke tahun. Semakan angka zakat menunjukkan bahawa negeri Melaka mengalami proses ekonomi yang memberangsangkan dengan pungutan berakhir 31 Disember 2016 sebanyak RM75juta dan tahun ini disasarkan peningkatan kepada RM80juta.

Mantan Ketua Menteri merangkap Penyelaras Parlimen Bukit Katil Tan Sri Ali Rustam

Datuk Seri Idris Haron bersama Mantan Ketua Menteri merangkap Penyelaras Parlimen Bukit Katil, Tan Sri Ali Rustam

“Kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan ekonomi kita tidak baik adalah salah,” tegas Idris ketika berucap merasmikan program tersebut.

Turut hadir, Speaker DUN, Datuk Othman Muhamad, Penyelaras Parlimen Bukit Katil Tan Sri Ali Rustam, Exco Kerajaan Negeri Datuk Wira Yunos Husin, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bachang, Datuk Saat Abu dan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Anis Ali Hasan.

 

-DZ
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda