
Oleh: Mohamad Zairin Mohamad Zin & Siti Rasidah Abdul Musa / Foto : Seri Ayu Wardiah Samsudin (Shah Alam)
SHAH ALAM, 1 Jun (Malaysiaaktif) – “Saya berasa gembira dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga pihak kerajaan dan diharapkan sumbangan seperti ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang kerana sedikit sebanyak dapat membantu golongan seperti kami ini.”
Begitu luahan Rodiyah Ahmad, 58, seorang ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak yang kini menyara keluarganya setelah kematian suami.
Rodiyah merupakan antara 120 orang golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal yang menerima sumbangan berupa baucar pembelian barang keperluan asas pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Di Bulan Ramadan Al-Mubarak bersama Timbalan Perdana Menteri bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong semalam.
Selain itu, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik, Norhasrina Johan, 17, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih di atas sumbangan yang diterima.
“Ini sedikit sebanyak dapat menceriakan kami golongan anak-anak yatim menyambut Ramadan dan seterusnya Hari Raya,” ujarnya yang kehilangan bapanya beberapa tahun yang lalu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggalakkan orang ramai untuk bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan ini.
“Terdapat satu hadis sahih yang menyatakan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma, pahalanya seolah-olah sama dengan pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu.
“Dan di sini, saya ingin ingatkan kepada kita semua, terutamanya kaum ibu apabila kita memasak sesuatu makanan itu haruslah ikhlas dan suami atau anak-anak yang makan makanan itu, pahalanya bertambah kepada ibu yang memasak itu kerana memberikan makan kepada orang yang berpuasa,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.
Ahmad Zahid seterusnya berbuka puasa bersama-sama dengan hadirin sebelum bersolat Maghrib berjemaah. Beliau seterusnya solat Isyak dan terawih berjemaah di Masjid Seksyen 5 Kota Damansara.