Skip to main content
Berita TempatanSabah

SMKA Tunas Rayu Dana Naik Taraf Surau

By 2 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Azman Jumat (Sabah)

SEPANGGAR, 2 Jun (Malaysiaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Shah (SMKATUNAS) memerlukan bantuan kewangan bagi menaik taraf bangunan surau dan pembinaan asrama baharu di sekolah tersebut.

Wakil SMKATUNAS, Ustaz Abdullah Jamil Md Salleh berkata, pihak mereka melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sedang mencari dana dalam usaha menaik taraf bangunan surau sedia ada bagi menampung jumlah jemaah di surau berkenaan.

“Pada masa ini, PIBG sekolah sedang bergerak mencari dana untuk menaik taraf bangunan surau sekolah yang telah dibina 28 tahun lalu dengan keadaannya yang agak uzur.

“Pada ketika ini, surau dapat menampung 600 jemaah yang terdiri daripada pelajar dan guru-guru dan pada hari Jumaat serta semasa majlis-majlis rasmi yang turut disertai oleh penduduk kampung, surau berkenaan tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai.

“Oleh yang demikian kami berharap ada pihak yang akan dapat membantu kami untuk menaik taraf bangunan surau di sekolah kami,” ujarnya.

Wakil SMKATUNAS, Ustaz Abdullah Jamil Md Salleh

Wakil SMKA TUNAS, Ustaz Abdullah Jamil Md Salleh

Abdullah turut memaklumkan, pihak SMKTUNAS juga sedang mencari dana bagi membina sebuah asrama baharu untuk tambahan pelajar baharu di sekolah berkenaan.

“Kami menerima banyak permohonan pelajar baharu untuk bersekolah di sini tetapi disebabkan kekangan asrama untuk menempatkan pelajar agak terhad, maka permohonan mereka terpaksa ditolak,” jelasnya.

Menurut Abdullah, sehingga kini, asrama SMKATUNAS hanya mampu menempatkan 500 pelajar yang terdfiri daripada 150 pelajar lelaki dan 350 perempuan.

“Dengan adanya bangunan asrama baharu, dapat membantu pihak sekolah menambah bilangan pelajar yang ingin belajar di sini.

“Kepada orang ramai yang ingin memberikan sumbangan bagi tujuan pembinaan surau dan bangunan asrama tersebut, bolehlah menghubungi talian sekolah di 088-429050,” terangnya.

Abdullah yang mewakili Pengetua SMKATUNAS, Datin Hasnah Mohd Yakob menerima replika cek RM10 ribu daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 2 di Masjid Al Kauthar, Kampung Karambunai pada Rabu.

Sumbangan tersebut diberi oleh Pusat Zakat Sabah (PZS) berdasarkan kepada jumlah guru-guru yang membayar zakat melalui potongan gaji pada setiap bulan.

Turut menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam, Sekolah Kebangsaan Bukit Padang, Kota Kinabalu dan Sekolah Menengah Kebangsaan, Pekan Telipok, Tuaran.

Sementara itu, penerima sumbangan zakat, Minah Abdul Latif, 61, berasa bersyukur atas sumbangan Pusat Zakat Sabah kepada dirinya.

“Saya akan menggunakan wang ini sebaiknya untuk kegunaan penyediaan juadah berbuka puasa dan perkara yang lain,” katanya kepada pemberita.

Minah yang ditemani ahli keluarganya merupakan balu kini tinggal bersama adik-adiknya yang lain.

Menurut adiknya, Alinah Abdul Latif, 48, kakaknya itu tidak bekerja dan hanya menjaga anak-anak saudaranya di rumah.

“Bagi pihak kakak saya, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka  yang terlibat membantu meringankan beban kakak saya dan juga penerima-penerima yang lain,” ujarnya.

Minah merupakan antara 86 penerima sumbangan agihan Hak Fakir Miskin dan Mualaf dari Kampung Karambunai dan Kampung Gentisan.

Selain itu, Musa juga menyerahkan replika cek sumbangan zakat bernilai RM5000 kepada Masjid Tun Ahmad Shah, Inanam dan replika cek bernilai RM2500 kepada Surau Nur Iman, Taman Kemajuan Likas serta Surau Al Janah, Taman Sepanggar.
Hampir 1500 penduduk di kawasan Sepanggar dan Ketua-ketua Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO turut serta di majlis tersebut.

-SF

 

Tinggalkan komen anda