Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Baiti Jannati TNB Ceriakan Sambutan Syawal Warga Emas

By 7 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Mohd Anuar Ibrahim & Sazaki Abd Rahman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Malaysiaaktif) – Sambutan Syawal seorang warga emas, Fauziah Saidon, 63, kali ini lebih bermakna apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) membaik pulih rumah pusaka keluarganya melalui Projek Baiti Jannati TNB peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tidak mempunyai tempat bergantung hidup dan pendapatan tetap, Fauziah atau lebih dikenali sebagai ‘Mak Teh’ bersyukur dan gembira kerana dapat meraikan hari raya dengan rumah yang baharu dan selesa.

Fauziah Saidon (63) atau lebih dikenali sebagai 'Mak Teh' meluahkan rasa syukur dan gembiranya pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB.

Fauziah Saidon (63) atau lebih dikenali sebagai ‘Mak Teh’ meluahkan rasa syukur dan gembiranya pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB.

Menurut Naib Presiden Pembahagian TNB, Datuk Ir Baharin Din, projek ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Korporat TNB kepada mereka yang memerlukan terutamanya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin.

“Pembiayaan projek ini menggunakan wang zakat perniagaan TNB,” kata Baharin.

Tambahnya, TNB memperuntukkan RM5.8 juta bagi pembiayaan dan pembinaan baharu sebanyak 117 buah rumah penerima yang layak di seluruh Semenanjung bagi tahun 2017.

Bagi peringkat Wilayah Persekutuan, sejak tahun 2016 sebanyak 25 orang penerima yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pentadbiran Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima sumbangan dengan kos RM940,754.82.

“Pada tahun 2017, seramai 40 orang penerima dikenal pasti dengan 38 penerima adalah dalam kalangan mereka yang tinggal di PPR, sementara 2 lagi penerima adalah melalui pembinaan rumah-rumah baharu di atas tanah masing-masing di Gombak dan Kampung Datuk Keramat,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku ini merupakan projek yang amat bermakna kepada penerimanya.

“Dalam memacu ekonomi negara ke arah yang lebih maju, utiliti seperti bekalan elektrik adalah amat penting bagi menarik pelaburan asing ke Malaysia,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama, TNB telah menyerahkan replika kunci rumah dan kelengkapan elektrik sebagai gimik perasmian bagi rumah yang setiap satunya menelan kos bernilai RM50,000.

Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin.

– AH

Tinggalkan komen anda