Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Siapsiaga PDRM Sempena Sukan Sea Ke-29 Kuala Lumpur 2017

By 10 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Rajeswari Nagamuthu & Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 14 hingga 30 Ogos 2017, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Kuala Lumpur akan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dalam keadaan terbaik dengan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di tahap yang tertinggi.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Sigh, kekuatan kawalan penugasan dianggarkan kira-kira 7 ribu petugas yang melibatkan elemen dalam PDRM dan lain-lain agensi bantuan.

“Keupayaan dijamin mencukupi dalam menjaga keselamatan di semua venue pertandingan, lokasi penginapan dan juga di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai,” katanya pada sesi sidang media, di sini hari ini.

Jelasnya, semua petugas PDRM akan menerima tajaan berupa skim insurans daripada MCIS Insuran Berhad berkuastkuasa mulai 6 Ogos sehingga 1 September 2017.

Penyampaian skim insuran oleh wakil MCIS, Piet Craven kepada Datuk Amar Singh Ishar Sigh.

Penyampaian skim insuran oleh wakil MCIS, Piet Craven kepada Datuk Amar Singh Ishar Sigh.

Sementara itu, Amar Singh berkata Polis Kuala Lumpur menjangkakan akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas menghala ke lokasi-lokasi sukan dan penginapan sepanjang sukan ini berlangsung.

“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kekuatan lebih kurang 1,098 orang petugas akan membuat pemantauan dan mengawal aliran trafik dengan melakukan lencongan atau penutupan sementara jalan-jalan yang terlibat yang berhampiran di KL Sports City dan tiada sebarang penutupan jalan lain.

“Polis Kuala Lumpur turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di lokasi-lokasi tersebut, jika ada pihak yang gagal mematuhi arahan kenderaan mereka akan ditunda dan bayaran akan dikenakan,” katanya lagi.

Tambah Amar Singh, terdapat 10 laluan yang terlibat iaitu Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Raja Chulan, Jalan Pinang, Lebuhraya MEX, Lebuhraya KL-Seremban dan Lebuhraya Persekutuan.

“Hanya bas-bas atlit yang mempunyai pelekat khas oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sahaja dibenarkan,” tegasnya.

Amar Singh turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, pihak Prasarana akan melanjutkan masa operasi di stesen LRT Bukit Jalil semasa Majlis Pembukaan dan Majlis Penutupan Sukan SEA sehingga pukul 2.00 pagi, manakala stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa.

“Perkhidmatan Bas Rapid Khas disediakan untuk pergi dan balik sempena Majlis Pembukaan pada 19 Ogos 2017 dan Majlis Penutupan pada 30 Ogos 2017 jam 5.00 petang hingga 8.00 malam,” katanya lagi.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di spad.gov.my untuk maklumat kemudahan pengangkutan awam sepanjang Sukan Sea ke-29 berlangsung.

Sebarang pertanyaan berkaitan lalulintas boleh berhubung di talian 03-20719999 atau melayari laman sesawang facebook – PolisKL, Trafik KL dan Instagram Trafik_KL.

Polis Kuala Lumpur mengharapkan kerjasama orang ramai supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan agar Temasya Sukan SEA ke -29 ini akan berjalan dengan lancar dan tenteram.

– AH

Tinggalkan komen anda