
Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)
KUDAT, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah akan memberi tumpuan kepada penilaian semula perlesenan inap desa di negeri ini pada 2018.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata penilaian tersebut bagi mengenal pasti inap desa yang masih aktif dan yang tidak lagi beroperasi.
“Sehingga November 2017, terdapat 25 inap desa beroperasi di Sabah dan tujuan utama penilaian semula tersebut adalah untuk memastikan pemain industri berkenaan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang datang.
“Kita berharap dapat meningkatkan kualiti pelancongan inap desa dan seterusnya dapat menjana pendapatan masyarakat di kawasan luar bandar.
“Sekiranya ada pengusaha yang tidak dapat memberikan kualiti dan perkhidmatan yang telah ditetapkan, kita tidak teragak-agak untuk menarik lesen pengoperasian mereka,” katanya.
Selain itu, Zaki juga turut memaklumkan terma inap desa atau homestay juga sering disalah guna oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Penyalahan guna terma kepada rumah sewa bayaran harian atau permis penginapan memberi salah faham kepada masyarakat tentang pelancongan berasaskan komuniti (CBT) ini.
“Kami berharap pihak tidak bertanggungjawab ini tidak lagi menggunakan terma homestay atau inap desa bagi mempromosikan permis penginapan mereka.
“Untuk mendapatkan status homestay pengusaha perkhidmatan perlu memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan sebelum memohon lesen daripada kementerian,” jelasnya semasa ditemu bual media selepas Program NBOS 1Malaysia Voluntourism: 1Malaysia 1Volunsharing Pengalaman Program Homestay Bersama Media anjuran Pejabat MOTAC Sabah di Misompurun Homestay, Kudat pada Jumaat.
Seramai 15 peserta terdiri daripada staf Pejabat MOTAC Sabah, pengamal media dan pelajar Pengurusan Pelancongan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program tiga hari di inap desa berkenaan.
–SF