Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViral

SUKJO’17 Penanda Aras Atlet Johor Bagi Sukma 2018

By 19 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan
Maskot PANTI Sukan Johor 2017.
Laporan /Foto: :  Mohd Shahqrul Azim  Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI , 19 Dis ( MalaysiaAktif ) –   Kejohanan Sukan Johor 2017 (SUKJO’17) berlangsung di daerah ini bermula dari 12 Disember hingga semalam,16 Disember 2017.

Program anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ)  dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di daerah ini diadakan bertujuan untuk mempersiapkan atlet-atlet negeri ini ke Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke 19 di Perak pada tahun hadapan.

SUKJO’17  dirasmikan pada 13 Disember lalu bertempat di Stadium Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Sebanyak 10 daerah di negeri ini telah menghantar atlet-atlet mereka untuk bertanding dalam pelbagai acara di tujuh lokasi, termasuk ragbi, memanah,berbasikal, kayak, silat,petanque dan olahraga.

Daerah Johor Bahru Juara keseluruhan Sukan Johor 2017.

Daerah Johor Bahru Juara keseluruhan Sukan Johor 2017.

Pada majlis penutupan kejohanan,Mohd Zulkarnain bin Mohd Zain, atlet memanah dari daerah Segamat terpilih sebagai olahragawan untuk kejohanan ini, manakala olahragawati disandang oleh atlet berbasikal dari daerah Johor Bahru, Puteri Rabiatul Nisa bt Rosman.

Daerah Johor Bahru menjadi juara keseluruhan untuk kejohanan ini dua kali berturut-turut  dengan kutipan sebanyak 41 pingat emas,diikuti dengan daerah Kulai di tempat kedua dengan 17 pingat emas,dan daerah Kota Tinggi berada di tempat ketiga, dengan 12 pingat emas.

Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Johor Haji Mohd Noorazam Osman, dalam ucapan perasmian penutupannya berkata kejohanan seperti ini dapat memberi peluang kepada MSNJ untuk mencari atlet-atlet pelapis berpotensi  ke SUKMA pada tahun hadapan.

Penyerahan bendera kejohanan Sukan Johor 2017 kepada CEO SUKMA Johor.

Penyerahan bendera kejohanan Sukan Johor 2017 kepada CEO SUKMA Johor.

“Yang lebih penting, para atlet juga dapat menggilap bakat mereka apabila bertanding di kejohanan peringkat negeri seperti ini.

“Kita juga berharap, kejohanan ini akan menjadi penanda aras untuk SUKMA di Perak tahun hadapan, dan yang lebih penting  kontinjen negeri ini menjadi juara keseluruhan apabila  Johor menjadi tuan rumah SUKMA pada 2020 nanti,insyaallah,” katanya lagi.

Olahragawan kejohanan yang ditemu bual MalaysiaAktif, Mohd Zulkarnain bin Mohd Zain,17 tahun  dari Segamat, berkata beliau gembira kerana penat lelahnya berlatih selama ini telah membuahkan hasil.

” Saya berterima kasih kepada pihak MSNJ yang telah mengadakan kejohanan ini. Pertandingan ini penting bagi kami para atlet bagi mempersiapkan diri ke SUKMA tahun hadapan.

“Saya juga mewakili para atlet mengucapkan terima kasih kepada daerah Kota Tinggi yang telah memberi layanan yang terbaik kepada kami sepanjang berada di sini”, ujarnya lagi.

Pada majlis yang sama, bendera kejohanan SUKJO’17 telah diturunkan dan diserahkan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi kepada Haji Mohd Noorazam bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Johor Dr. Haji Badrul Hisham bin Kassim.

Olahragawan dan Olahragawati Sukan Johor 2017.

Olahragawan dan Olahragawati Sukan Johor 2017.

Turut dipersembahkan sempena majlis penutupan, maskot kejohanan,”PANTI” yang merupakan seekor gajah yang begitu sinonim dengan daerah ini dan persembahan bunga api.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Gadaffie bin Abdul Aziz, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Dato’ Noor Ehsanuddin Hj Mohd Harun Narrashid dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi merangkap ketua kontinjen daerah Kota Tinggi, Fizwan Dato’ Haji Mohd Rashidi.

 

-AAS

 

Tinggalkan komen anda