
Laporan Dan Foto Oleh: Azfariza Ismail
KUALA KETIL, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Rakyat Kuala Ketil berpeluang menerima harga yang lebih murah iaitu sekitar 10-30% berbanding harga pasaran biasa apabila Kerajaan Negeri mewujudkan Pasar Tani di kawasan ini.
Ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Pertanian dan Industri Asas Tani, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob sempena Program Jelajah Muafakat Parlimen Baling yang berlangsung di Padang Awam, Kuala Ketil, Baling pada hari ini.
“Kerajaan Negeri akan mewujudkan ‘Pasar Tani’ di Kuala Ketil sebagai usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat membeli barangan pada harga yang rendah daripada harga di pasaran semasa,” ujar Suraya.
Program ini bertujuan untuk meringankan perbelanjaan rakyat dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan, peniaga dan usahawan untuk menjual hasil barangan dan produk mereka dengan harga yang lebih rendah, katanya lagi.
Selain dapat membeli barangan harian dengan harga yang lebih murah, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan seperti program zumba, pertandingan aspek wanita, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan dan penukaran minyak enjin secara percuma dan lain-lain lagi.
Menurut Datuk Suraya, Kerajaan Negeri amat prihatin kepada rakyat Kedah khususnya di Kuala Ketil dan berharap penduduk tempatan dapat memberi mandat kepada kepimpinan Barisan National pada PRU yang akan datang bagi membolehkan Kerajaan Negeri terus membantu rakyat.
“Pada tahun ini, air percuma akan diberikan kepada pengguna yang mempunyai bil berjumlah di bawah RM20.
Ini bermakna Kerajaan Negeri Kedah akan membayarkan bil tersebut, manakala pelajar darjah 1 pula akan menerima RM100 melalui akaun SSPNI.
Daerah Baling juga mempunyai sejumlah 4800 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan nilai RM 1.2 juta sebulan,” ujarnya.
Pada majlis ini juga turut disampaikan Bantuan Segera daripada JKM, FAMA, Veterinar, Pertanian, Geran Pelancaran daripada Tekun, sumbangan Ziarah Kasih dan juga penyampaian Sijil Sukarelawan daripada JKM.
Menurut seorang pengunjung yang hadir pada program ini, Siti Yusmila Yusof, dia berharap kerajaan negeri dapat merealisasikan pasar tani seperti yang diumumkan, harganya pula biarlah berpatutan dan murah, saya pasti akan ke sini selalu.
Rata-rata pengunjung lain yang ditemui berharap agar program ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang demi kebaikan rakyat khususnya di pekan Kuala Ketil.
– MRR