Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penglihatan Saya Kembali Jelas. Terima Kasih KK1M!

By 31 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Dzulhardey Shah Abdullah @Hamidey (Sabah)

BEAUFORT, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 31 pesakit yang mengalami penglihatan kurang jelas atau lebih dikenali sebagai katarak mata mendapat manfaat daripada program Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) di Hospital Beaufort pada Sabtu.

Pesakit, Md Danil Nani ketika ditemui berterima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan program ini sehingga dia boleh melihat semula dengan lebih jelas.

“Tiada yang dapat saya cakap lagi melainkan bersyukur kerana mendapat rawatan tanpa mengeluarkan sebarang bayaran terhadap perkhidmatan ini, sesungguhnya program ini amat baik sekali, terima kasih,” ungkapnya selepas menerima rawatan tersebut.

Pesakit Manan Basah (kiri) dan Karim Masri (kanan) kelihatan ceria sebelum di daftar masuk ke dewan bedah.

Pesakit Manan Basah (kiri) dan Karim Masri (kanan) kelihatan ceria sebelum didaftar masuk ke dewan bedah.

Anak kepada salah seorang pesakit, Sazesarrilla Karim turut meluahkan rasa terima kasih kepada pihak kerajaan atas inisiatif program tersebut tanpa perlu membayar kos perubatan yang tinggi.

“Saya amat menyokong penuh pelaksanaan program ini kerana membawa kebaikan kepada masyarakat di daerah ini dan saya yakin program ini turut mampu memberi impak positif kepada rakyat umumnya,” ujarnya.

Dia juga amat berterima kasih kepada para kakitangan perubatan di Hospital Beaufort yang memberikan perkhidmatan terbaik dan mempermudah urusan ayahnya selama menjalani rawatan tersebut.

“Sesungguhnya program ini bukan sahaja dapat memulihkan pesakit dengan tanpa bayaran malah dapat menjalinkan hubungan yang baik antara pesakit, keluarga pesakit dengN pihak hospital,” jelasnya selepas ditemui pada program berkenaan.

Pelaksanaan program KK1M kali ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Bank Kanta di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kelab Rotary Cawangan Kota Kinabalu.

Dr.Sheena Mary Alexander sedang melakukan pembedahan dengan teliti dan penuh berhati-hati.

Dr.Sheena Mary Alexander sedang melakukan pembedahan dengan teliti dan penuh berhati-hati.

Program yang diadakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat swasta selain kepakaran doktor pakar kerajaan serta persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengembleng tenaga bersatu memberikan perkhidmatan, penyediaan alat rawatan dan sokongan kepada para pesakit.

Dalam pada itu. Pengarah Hospital Beaufort, Dr.Sutharsan Kannan berkata, orang ramai khususnya di daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu yang mengalami masalah penglihatan disebabkan penyakit katarak perlu mengambil peluang ini.

“Memandangkan program ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan namun pemilihan pesakit perlu melalui saringan dan kriteria pemilihan yang ditetapkan.

“Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan terlebih dahulu agar mudah bagi pihak hospital mengenal pasti tahap kesihatan pesakit sebelum melakukan pembedahan katarak dan bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan ianya akan diasingkan bagi mendapat rawatan yang lebih sesuai,” jelasnya lagi.

Tambahnya, kelebihan KK1M ini ialah, peralatan untuk pembedahan dibawa dari hospital pakar beserta doktor pakar ke daerah ini bagi memudahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan.

“Pesakit-pesakit di sekitar daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu sudah tidak perlu bergerak jauh ke Kota Kinabalu untuk ke hospital pakar kerana KK1M telah membawa pakar dan peralatan ke daerah,” ujarnya apabila ditemui selepas pelaksanaan program ini di hospital terbabit.

Seramai 13 petugas bertungkus-lumus menjayakan program tersebut yang terdiri daripada Pakar Perunding, Pakar Oftamologi dan Pegawai Perubatan serta petugas daripadaJabatan Oftalmologi, Hospital Queen Elizabeth serta turut dibantu seorang pegawai perubatan dan 14 petugas Hospital Beaufort.

Turut hadir pada program itu, Pakar Perunding, Dr.Sheena Mary Alexander, Pakar Oftamologi, Dr.Norhayati Abdullah dan Pakar Oftamologi, Dr.Niven Teh Chong Seong.

SF

Tinggalkan komen anda