Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Persidangan DUN Sarawak ke-150 Jejak Sejarah

By 30 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Cassidy Lisut(Sarawak)

KUCHING, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini menghadiri Persidangan Khas Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-18 sempena dengan Ulang Tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Mengimbau kembali sejarah pertama wujudnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula pada 8 September 1867 di Bintulu yang berlandaskan sistem swa-pemerintahan iaitu sistem demokrasi berparlimen, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menjelaskan persidangan dewan ini telah memasuki tahun yang ke-150 kewujudannya sejak persidangan pertamanya pada 8 September 1867.

Taib memeriksa perbarisan di sini.

Taib memeriksa perbarisan di sini.

“Sambutan ulang tahun ini amat penting untuk kita memperingati sejarah keunggulan dewan ini sebagai lambang kedaulatan Negeri Sarawak melalui proses perundangan yang adil.

“Sambutan ini juga untuk menghargai sumbangan personaliti yang terlibat dalam pembentukan sistem perundangan Negeri Sarawak yang unik, tersendiri dan kontemporari, ucapnya ketika menyempurnakan persidangan tersebut di Dataran Perbarisan, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pagi tadi.

Taib turut menyeru agar masyarakat mensyukuri nikmat memiliki pemimpin yang dinamik, berwibawa dan bertanggungjawab serta mementingkan keamanan dan kesejahteraan rakyat.

“Kestabilan politik yang dicapai melalui amalan konsep perkongsian kuasa membolehkan rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, Sarawak memiliki enam ketua menteri iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan (1963-1966), Penghulu Tawi Sli (1966-1970), Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub (1970-1981) Tun Abdul Taib Mahmud (1981-2014), Tan Sri Adenan Satim (2014-2017) dan Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri Sarawak keempat, Tun Abdul Taib Mahmud yang kini merupakan Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak meneruskan legasi keamanan dan kestabilan politik dengan memberikan tumpuan kepada falsafah politik pembangunan dengan menyusun semula bentuk hidup di bandar dan luar bandar.

– SH

Tinggalkan komen anda