Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Qari Johan Tilawah Al-Quran Terima Rumah

By 24 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan: Azmi Abd. Rahman   /  Foto : Mohd Sukri Ismail (Machang)

 

MACHANG, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis penyerahan kunci rumah buat Wan Ainuddin Hilmi Abdullah, 36, yang merupakan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2016 telah disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob di Lot 13780, Mukim Bakar, di sini, siang tadi.

Ainuddin yang berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu yang kini  menetap di Petaling Jaya, Selangor, yang juga merupakan penuntut di Open University Malaysia (OUM) dalam bidang Pengajian Islam ini menyifatkan hadiah ini sebagai rezeki anak-anaknya.

Ainuddin (tengah) bersama-sama Ahmad Yakob (tiga dari kanan) meninjau keadaan rumah baharunya.

Ainuddin (tengah) bersama-sama Ahmad Yakob (tiga dari kanan) meninjau keadaan rumah baharunya.

“Pemberian hadiah rumah bernilai RM220,000.00 ini saya sifatkan sebagai rezeki anak-anak saya. Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih di atas rezeki yang tidak terduga ini,” ujar bapa empat orang anak ini.

Menurut Ainuddin beliau mula mengenali Al-Quran menerusi ayahnya dan telah khatam Al-Quran seawal usia lima tahun.

Banyak pengalaman yang diperolehi sepanjang menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran bermula tahun 2001 samada di peringkat dalam negeri hingga ke peringkat antarabangsa.

“Ada masanya saya mendapat tempat tiga terbaik dan ada masanya langsung tidak mendapat nombor. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya sehingga berjaya mencapai tahap ini.

“Tilawah Al-Quran merupakan satu platform yang amat baik dalam meningkatkan kecintaan terhadap Al-Quran, dan saya berharap lebih ramai golongan muda menyertai pertandingan tersebut bagi memartabatkan lagi Al-Quran di persada antarabangsa,” jelasnya yang juga seorang imam di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya ini.

Pada tahun 2009 Ainuddin telah ke Mesir dan berguru dengan Ustaz Ahmad Mustapha Kamil untuk mendalami ilmu Taranum. Bermula daripada situlah beliau memperbaiki alunan lagu di dalam bacaan Al-Qurannya.

Ainuddin menjelaskan, tahun ini beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pertandingan tilawah, sebaliknya diminta untuk menjadi hakim pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan dan Negeri Sembilan.

-SH

Tinggalkan komen anda